TAMADA hantar 8 jururawat ke Kuala Lumpur

TAMADA hantar 8 jururawat ke Kuala Lumpur

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Sebagai sebahagian daripada pelan strategik pembangunan sumber manusianya, Perkhidmatan Kejururawatan Tamada (TAMADA) akan menghantar lapan orang kakitangannya termasuk jururawat untuk mengikuti kursus bagi meningkatkan Latihan Sokongan Hayat Asas (BLS) mereka di Kuala Lumpur, Malaysia.

Rombongan kakitangan berkenaan, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan TAMADA, akan berlepas ke Malaysia pada 18 Oktober ini.

Menurut kenyataan TAMADA, kursus dua hari itu akan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang diiktiraf Persatuan Jantung Amerika (AHA) bagi BLS, Sokongan Hayat Jantung Lanjutan (ACLS) dan Sokongan Hayat Lanjutan Pediatrik (PALS) serta pelatih HRDF yang diperakui.

Latihan ini direka untuk menyediakan keupayaan kepada pelbagai profesional penjagaan kesihatan untuk mengenal pasti kecemasan-kecemasan yang mengancam nyawa, memberikan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), menggunakan Automated External Defibrillator (AED) dan membantu anak damit, kanak-kanak dan orang dewasa yang tercekik dengan cara yang selamat, tepat pada masanya dan berkesan.

Kursus ini merangkumi konsep-konsep penting mengenai CPR menyelamat nyawa satu dan dua; pengetahuan semasa mengenai BLS daripada garis panduan 2010 bagi CPR; taklimat, tunjuk ajar dan sokongan bagi kemahiran amali dengan latihan semasa memerhatikan (PWW), Rantai Penyelamatan (Chain of Survival) AHA, serta CPR orang dewasa dan anak damit.

Walau bagaimanapun, kebimbangan utama adalah untuk mengurangkan kecacatan dan kematian akibat kecemasan peredaran darah dan pernafasan yang akut dengan memperbaiki rantai penyelamatan dalam setiap komuniti dan setiap sistem penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan TAMADA menggalakkan kakitangannya untuk mempunyai pendidikan profesional berterusan (CPE) yang membantu membangunkan atau meningkatkan pengetahuan, penyelesaian masalah, kemahiran teknikal atau standard prestasi profesional dengan menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik berdasarkan amalan-amalan terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA