Taman Arkeologi pertama di Brunei

Taman Arkeologi pertama di Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Jabatan Muzium-Muzium, hari ini, mencatat satu lagi detik bersejarah apabila melancarkan Taman Arkeologi Kota Batu, yang pertama seumpamanya di negara ini, yang merangkumi Pusat Informasi dan Kompleks Kota Batu I.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Kurator Ilmu Kejadian, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali; Pegawai Tugas-tugas Khas, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Quddus, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub.

Taman dan pusat ini diharap dapat dimanfaatkan oleh orang ramai terutama sekali generasi muda sebagai tempat penyelidikan dan kajian mengenai sejarah negara yang terdapat di kawasan tersebut.

Dengan adanya taman arkeologi itu, ia sekali gus menjadi mercu tanda bagi Jabatan Muzium-Muzium dalam berkongsi pengetahuan dan maklumat mengenai sejarah dari abad ke-14 hingga pertengahan abad ke-17 Masihi.

Yang Berhormat Pehin, YAM Pengiran Muda Omar Ali dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Quddus menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin, YAM Pengiran Muda Omar Ali dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Quddus menghadiri majlis berkenaan.

pg12_150812_c

Yang Berhormat Pehin menyaksikan pameran koleksi barangan bersejarah dengan diiringi oleh Pengiran Dr Karim.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan pameran koleksi barangan bersejarah dengan diiringi oleh Pengiran Dr Karim.

Semasa menyampaikan ucapan di majlis itu, Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyatakan harapan agar pusat dan taman berkenaan digunakan sebagai tempat penyelidikan dan kajian dengan lebih dekat lagi mengenai sejarah atau perjalanan sejarah negara yang pada dulunya merupakan sebuah empayar yang besar dan tertua.

Beliau turut melahirkan harapan agar generasi muda dapat melihatnya sebagai taman warisan negara yang masih hidup di mana masih terdapat bahan-bahan arkeologi dan bahan sejarah penting yang masih terdapat di kawasan berkenaan dan masih memerlukan penyelidikan.

“Dari sini ia akan dapat membangkitkan semangat generasi muda, yang mana Brunei pada satu ketika dulu merupakan sebuah empayar yang besar dan tertua di samping mempunyai sistem-sistem pentadbiran dan perdagangan yang teratur,” jelasnya.

Ini, tambah beliau, juga terbukti dengan terdapatnya pulau buatan manusia iaitu Pulau Tarindak yang boleh menggambarkan pulau berkenaan dijadikan sebagai tempat pengawalan kapal-kapal pedagang yang datang ke negara ini pada satu ketika dulu.

Menurut beliau, rakyat negara ini sepatutnya merasa bangga kerana Brunei sebuah negara tertua yang kaya dengan tamadun, dan “kita juga perlu mengangkat dan menjulang imej negara”.

pg12_150812_e

Bilik pameran di Taman Arkeologi Kota Batu yang mempamerkan pelbagai artifak-artifak yang bersejarah.
Bilik pameran di Taman Arkeologi Kota Batu yang mempamerkan pelbagai artifak-artifak yang bersejarah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium-Muzium, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman selaku pengerusi majlis, dalam ucapannya berkata taman yang terletak di Kota Batu berkenaan merupakan sesuatu yang baru dan berbeza dibanding dengan taman-taman rekreasi yang lain kerana taman ini memberikan dua peranan dalam satu iaitu keseronokan serta rekreasi dan pada masa yang sama memberikan pembelajaran dan pengajaran.

Menurut beliau lagi, sebagai Pusat Brunei Tua dan Pusat Kesultanan Islam yang pertama di negara ini pada abad ke-14 hingga ke-17 Masihi, Kota Batu mempunyai peninggalan arkeologi pelbagai jenis yang terdiri daripada kayu dan batu, tembikar dari pelbagai negara, wang syiling dan sebagainya.

“Peninggalan ini dapat dilihat tersebar luas di beberapa kawasan di taman ini, kekal terpelihara di situ lebih daripada 700 tahun sejak ianya dibina atau digunakan. Sebagai tapak arkeologi yang masih aktif, pengunjung-pengunjung juga akan dari semasa ke semasa melihat kegiatan penggalian dilakukan di tapak ini dan adalah sesuatu yang unik mengenai taman ini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, taman itu juga mempunyai alam persekitaran yang menghijau, kaya dengan pelbagai flora dan fauna.

Selain melalui hutan sekunder, taman berkenaan juga merentasi hutan bakau yang terkawal daripada sebarang pencerobohan sejak tapak itu diwartakan pada tahun 1967 di bawah akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam.

Beliau menjelaskan, sebagai pembelajaran, sebahagian daripada pokok-pokok ini dinamakan dengan nama-nama saintifik, selain nama-nama tempatan dan kebangsaan.

pg12_150812_f

Di antara koleksi barangan bersejarah yang dipamerkan di Pusat Informasi berkenaan.
Di antara koleksi barangan bersejarah yang dipamerkan di Pusat Informasi berkenaan.

pg12_150812_h

Kajian etno-arkeologi juga dilakukan terhadap sebahagian daripada tumbuhan-tumbuhan ini dengan penerangan kegunaannya, baik sebagai bahan untuk seni bina, juga sebagai bahan-bahan untuk perusahaan, pertukangan, perubatan dan pemakanan.

Selepas menyempurnakan perasmian, Yang Berhormat Pehin turut berkesudian untuk menyaksikan pameran dan melawat Kompleks Kota Batu I dan Kota Batu II.

Taman Arkeologi Kota Batu ini mempunyai keluasan 120 ekar atau 48.6 hektar dan merangkumi tiga zon utama iaitu zon bukit, zon tanah datar dan zon tebing sungai.

Manakala itu, Pusat Informasi dan Kompleks Kota Batu I dibuka bermula hari ini dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Jumaat dibuka dari 9 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 5 petang.

Menurut kenyataan Jabatan Muzium-Muzium, pembinaan Pusat Informasi dan Kompleks Kota Batu I telah dilaksanakan secara berperingkat dalam Rancangan Kemajuan Negara ke-8 dan ke-9 dengan jumlah peruntukan sebanyak $1.3 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak $2.5 juta.

Fasa pertama melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 2.9km dan pondok-pondok rehat, manakala fasa kedua melibatkan Pusat Informasi dan Kompleks yang terdapat di kawasan taman arkeologi berkenaan.

Sempena pembukaan rasmi itu, beberapa aktiviti turut disediakan dengan melibatkan bahagian-bahagian arkeologi yang menunjuk cara kerja-kerja ekskavasi, ilmu kejadian dengan sesi ‘bird-watching’ dan pemeliharaan, serta menunjukkan bagaimana melaksanakan pemuliharaan kecemasan untuk enyelamatkan bahan-bahan yang dijumpai.

ARTIKEL YANG SAMA