Taman Asuhan PERTIWI anjur majlis penghargaan 2016

Taman Asuhan PERTIWI anjur majlis penghargaan 2016

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Sebagai salah satu kegiatan tahunan dan bagi memberi penghargaan kepada pencapaian kanak-kanak, Taman Asuhan PERTIWI mengadakan Majlis Hari Penutup, Penyampaian Sijil dan Hadiah-hadiah Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Jabatan Bandaran, Kampung Belimbing Subok.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil dan hadiah ialah Isteri Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Hajah Jamaiah binti Haji Abdul Manaf.

Anugerah Murid Cemerlang Keseluruhannya diterima oleh Dayang Nur Qaisarah Fakhirah Afiqah binti Mohd Khairol Azmi.

Terdahulu, Guru Besar Taman Asuhan PERTIWI, Hajah Aminah binti Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, pelajaran dan pendidikan amat mustahak mulai dari kanak-kanak masih kecil.

Bagaimanapun tambahnya, pertumbuhan kanak-kanak dari segi akhlak dan pendidikan bergantung kepada ibu bapa kerana merekalah yang bertanggungjawab menentukan pembelajaran awal anak mereka.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang murid cemerlang.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang murid cemerlang.

Menurut Hajah Aminah lagi, di taman asuhan itu, murid-murid didedahkan kepada amalan asas seperti membaca Bismillah sebelum memulakan pelajaran, membaca doa sebelum dan sesudah makan, memberi salam dan hormat kepada orang tua dan lain-lain lagi.

Selain memberikan pelajaran dan kegiatan di peringkat tadika seperti melukis, mewarna, menulis dan membaca jelasnya, kanak-kanak juga dibawa bersenam dan bersukan, mempelajari dan menghormati lagu kebangsaan dan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik bagi meluaskan pandangan dan mengenali keadaan sekeliling.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian kanak-kanak dari Tadika 1 dan Tadika 2 Taman Asuhan PERTIWI.

ARTIKEL YANG SAMA