Taman Industri tercanggih di Asia Tenggara

Taman Industri tercanggih di Asia Tenggara

BINTULU, 16 Nov (Bernama) – Taman Perindustrian Samalaju (SIP) seluas 8,000-hektar di sini bakal muncul taman industri paling berteknologi tinggi di Malaysia dan Asia Tenggara apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Negeri Sarawak, Buckland Bangik berkata SIP yang juga sebahagian Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), adalah taman perindustrian serba maju dengan lima syarikat membuat pelaburan sebanyak RM25 bilion dan dijangka mewujudkan sejumlah 13,052 pekerjaan.

Malah, katanya, lebih banyak kemudahan prasarana bertaraf dunia serta kemudahan awam akan dilaksanakan di SIP bagi memenuhi keperluan pelabur asing.

“Ini penting bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dan memastikan SIP menepati aspirasi untuk muncul taman perindustrian paling berteknologi tinggi di Malaysia mahupun Asia Tenggara,” katanya pada majlis taklimat bersempena lawatan media ke SIP, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata SIP adalah destinasi pelaburan pilihan berikutan tarikan pakejnya.

SIP juga, setakat ini menempatkan enam syarikat iaitu Tokuyama Jepun (polycrystalline silikon), Press Metal of Malaysia (bilet aluminium), Permata Ferroalloys Hong Kong (silikon mangan) Om Materials Singapore (fero mangan), Sakura Feroalloys (fero silikon mangan) dari Afrika Selatan/Jepun.