Taman menegak bantu kurangkan pulau haba bandar

Taman menegak bantu kurangkan pulau haba bandar

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) – Taman menegak atau menanam pokok bunga yang disusun menegak di luar bangunan, mampu mengurangkan fenomena pulau haba bandar akibat cuaca panas.

Justeru, semua bangunan tinggi harus memiliki taman menegak, kata Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir.

Beliau berkata pembinaan bangunan pencakar langit mengurangkan kawasan hijau yang berupaya menyerap gas karbon dioksida dan menyederhanakan suhu.

“Bangunan pencakar langit yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan kekurangan ruang untuk pengaliran udara, ditambah pula dengan penebangan pokok-pokok akibat pembangunan.

“Oleh itu, bangunan haruslah memanfaatkan ruang yang ada untuk mewujudkan sudut yang ditanam dengan tumbuhan hijau dan sekiranya mempunyai ruang terhad, cara yang sesuai adalah melalui taman menegak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekurangan kawasan hijau akibat pembangunan pesat menyebabkan ibu kota berstatus pulau haba bandar, seperti yang dilaporkan sebuah media tempatan pada Isnin lepas.

Prof Dr Osman Mohd Tahir menunjukkan trofi Anugerah MLAA kepada pemberita ketika sidang media MLAA pada 5 April. – Bernama
Prof Dr Osman Mohd Tahir menunjukkan trofi Anugerah MLAA kepada pemberita ketika sidang media MLAA pada 5 April. – Bernama

Dr Osman, yang juga Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putera Malaysia berkata terdapat tiga konsep taman menegak atau penghijauan pada dinding luar yang boleh diterapkan pada bangunan tinggi iaitu fasad bangunan, lantai tingkat-tingkat tertentu di atas bangunan, dan ruang awam dalam bangunan.

“Jenis tanaman taman menegak ini adalah jenis yang tidak terlalu besar, dengan perakaran yang mampu tumbuh dengan baik pada ruang terhad, tahan terhadap hembusan angin, tidak memerlukan banyak air dan mampu menyerap bahan pencemaran seperti debu dan karbon dioksida,” katanya. Katanya setiap bangunan tinggi 15 tingkat ke atas harus mewujudkan satu taman atas bumbung ataupun taman di satu daripada tingkatnya bagi ‘menghidupkan’ keseimbangan ekologi dan penghuninya.

“Contohnya di negara maju seperti Britain, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat, teknologi laman di bumbung sudah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu yang bukan saja dapat menghijaukan persekitaran malah menyejukkan kawasan sekitar dan mengurangkan penggunaan tenaga,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA