Taman, pantai rekreasi bakal diswastakan

Taman, pantai rekreasi bakal diswastakan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) kini sedang mengenal pasti taman-taman rekreasi dan pantai di negara ini untuk dibangunkan sebagai tempat rekreasi bagi pengunjung tempatan dan juga luar negara.

Salah satu kawasan seumpamanya ialah Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas yang akan dibangunkan dengan operasi, pengurusan dan penyelenggaraan taman berkenaan akan diswastakan tidak lama lagi.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan Brunei, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong berkata taman rekreasi berkenaan akan menjadi projek perintis bagi pengurusan sedemikian dan akan membawa tema taman ‘Forest Activities and Mountain Bike’.

“Kami mengalu-alukan penyertaan daripada sektor swasta bagi tujuan ini,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan sebelum melancarkan Kedai Kingdom Rides & Adventures di Unit 17, Blok D, Kompleks Madang, Kampung Madang, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali merasmikan Kedai Kingdom Rides  & Adventures.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali merasmikan Kedai Kingdom Rides & Adventures.
Tetamu kehormat menyaksikan ruang kedai Kingdom Rides & Adventures.
Tetamu kehormat menyaksikan ruang kedai Kingdom Rides & Adventures.
Antara barangan yang dijual di kedai berkenaan.
Antara barangan yang dijual di kedai berkenaan.

Dalam hal ini, tambahnya lagi, beliau turut menggalakkan para pemilik taman dan pantai-pantai di negara ini untuk bekerjasama dengan kementeriannya untuk melaksanakan pengurusan sama dan menswastakan operasi, pengurusan dan penyelenggaraan taman-taman dan pantai mereka kepada pengendali persendirian.

Katanya, pengendali terbabit akan menyediakan aktiviti-aktiviti di taman-taman dan pantai berkenaan dan menjadikannya lebih menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Kepelbagaian pilihan untuk melakukan aktiviti di taman-taman juga akan menarik pengunjung untuk datang semula ke tempat-tempat untuk sebagai pengunjung tetap,” tambah beliau.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menekankan kepentingan membangunkan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dengan pelancongan seperti ejen-ejen pelancongan, operator pelancongan, hotel dan operasi pengangkutan untuk mencapai objektif berkenaan.

Kingdom Rides and Adventures, katanya, merupakan stakeholder berpotensi dalam usaha itu, terutamanya dalam menyediakan aktiviti berbasikal gunung seperti ekspedisi berbasikal untuk kawasan-kawasan seperti Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas bagi rakyat Brunei dan pelancong antarabangsa.

Kingdom Rides & Adventures merupakan sebuah kedai basikal yang menyediakan pelbagai jenis basikal, barangan basikal dan bengkel basikal.

Pengarah kedai tersebut, Jason Pickett menyatakan, kedai tersebut kini beroperasi untuk kunjungan orang ramai sejurus selepas majlis pelancaran tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

ARTIKEL YANG SAMA