Taman Rekreasi RPN mudahkan warga beriadah

Taman Rekreasi RPN mudahkan warga beriadah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Taman Rekreasi 1 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengamalkan cara hidup sihat seterusnya menjana semangat masyarakat harmoni khususnya penduduk yang tinggal di kawasan RPN Meragang.

Perasmian taman rekreasi berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, hari ini.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Semasa ditemui selepas majlis perasmian berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkata rancangan projek taman rekreasi ini memang diselenggarakan di kesemua kawasan RPN, yang menurutnya, dengan adanya taman ini akan memudahkan penduduk di sekitar berkenaan untuk beriadah.

“Di kawasan perumahan, kita merancang untuk mengadakan kawasan-kawasan komersial seperti dewan serba guna, taman riadah yang lebih dari ini,” ujarnya, sambil menambah perkara ini sudah diambil maklumat daripada pemborong yang berminat.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi tatkala merasmikan Taman Rekreasi 1 Rancangan Perumahan Negara Meragang.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi tatkala merasmikan Taman Rekreasi 1 Rancangan Perumahan Negara Meragang.
Yang Berhormat Pehin ketika meninjau sekitar Taman Rekreasi 1 RPN Meragang.
Yang Berhormat Pehin ketika meninjau sekitar Taman Rekreasi 1 RPN Meragang.

p08-3_20150520

Pemandangan di Taman Rekreasi 1 RPN Meragang.
Pemandangan di Taman Rekreasi 1 RPN Meragang.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut melahirkan perasaan kecewa dengan sikap pemugut di kawasan rekreasi, yang menurutnya, banyak kes pugut telah didapati berlaku di taman-taman rekreasi yang disediakan di RPN di mana permainan kanak-kanak turut dirosakkan oleh orang yang tidak
bertanggungjawab.

Beliau menekankan bahawa, perbelanjaan untuk memperbaiki kerosakan tersebut bukan satu perkara yang mudah dan murah.

“Dengan menyediakan taman rekreasi di RPN ini adalah untuk memberi keselesaan kepada penduduk di sekitar RPN itu menikmati kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya tapi bukan untuk dirosakkan,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin menyeru pengguna di RPN Meragang ini supaya akan sama-sama menjaga kebersihan dan keselamatan taman supaya semuanya dapat menikmati apa yang disediakan oleh kerajaan.

Taman Rekreasi 1 RPN Meragang ini termasuk dalam projek penyediaan kemudahan riadah dan bersukan di kawasan-kawasan RPN yang diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.

Projek ini siap dibina pada Januari lalu di atas tapak seluas 0.91 hektar dengan menelan belanja lebih $800 ribu, dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan riadah seperti tempat permainan kanak-kanak, gelanggang futsal, gelanggang bola jaring, gelanggang takraw dan juga trek joging.

ARTIKEL YANG SAMA