Taman terapi kesihatan

Taman terapi kesihatan

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) – Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mencadangkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) supaya membangunkan satu kawasan di pusat peranginan Damai sebagai taman terapi kesihatan.

Beliau berkata kaedah ini sudah diamalkan di beberapa negara luar, yang mana rawatan sebenar dijalankan di hospital manakala rawatan terapi dilakukan di kawasan riadah hotel.

“Ketenangan di kawasan seperti di Damai yang masih mempunyai pokok-pokok mungkin boleh menyumbang kepada pemulihan pesakit,” katanya pada majlis ramah mesra Aidilfitri Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kualiti kesihatan yang bertambah baik di negeri ini serta kos rawatan yang lebih rendah telah menarik lebih ramai pesakit dari luar negara, khususnya dari Indonesia untuk datang menerima rawatan di hospital-hospital swasta di negeri ini.

Atas sebab itu juga kata beliau semakin banyak penyedia khidmat kesihatan datang untuk membuka hospital dan pusat perubatan mereka di negeri ini.

Menteri Pelancongan Sarawak (dua dari kanan) ketika majlis ramah mesra Aidilfitri di Hospital Umum Sarawak. – Bernama
Menteri Pelancongan Sarawak (dua dari kanan) ketika majlis ramah mesra Aidilfitri di Hospital Umum Sarawak. – Bernama

Ini katanya sekali gus membantu meningkatkan bilangan pelancongan kesihatan ke negeri ini, yang menurut beliau bukan sahaja dari Pontianak, Indonesia tetapi juga dari Jakarta.

“Jika sebelum ini pesakit-pesakit dari Indonesia pergi ke Singapura untuk mendapatkan rawatan tetapi disebabkan kos perubatan yang terlalu tinggi di negara berkenaan, kini ramai pesakit beralih ke hospital-hospital pakar di Sarawak,” katanya.

Menurut Abang Johari tahun lalu 4.1 juta pelancong datang ke Sarawak, yang sebahagiannya adalah pesakit dari luar negara yang datang untuk menerima rawatan.

“Yang penting kita harus memastikan kualiti perkhidmatan perubatan kita berada pada tahap yang tinggi kerana pesakit akan datang ke sini apabila mereka berpuas hati dengan mutu perkhidmatan perubatan yang kita sediakan,” tambah beliau.