Tamat kursus Marsyal Bomba

Tamat kursus Marsyal Bomba

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG – Dalam usaha untuk memastikan setiap warga rumah sakit sentiasa peka, bersiap sedia dan berpengetahuan dalam pengurusan bencana kebakaran di rumah-rumah sakit serta pencegahannya, baru-baru ini Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam Temburong dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi ‘G’ Temburong telah menganjurkan kursus latihan Marsyal Bomba bagi pegawai dan kakitangan hospital ini.

Kursus tiga hari ini bertujuan untuk memperlengkapkan dan meningkatkan kemahiran dan kefahaman para peserta mengenai asas pencegahan kebakaran dan tatacara pengosongan bangunan apabila berlakunya kebakaran di setiap bahagian, unit, klinik dan wad di samping memastikan pelan dan prosedur kebakaran hospital dipatuhi. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warga hospital untuk menjaga dan melindungi keselamatan orang ramai khususnya pesakit, pelawat, pegawai dan kakitangan hospital yang sentiasa menjadi keutamaan.

Inisiatif pihak rumah sakit

“Pihak hospital juga telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja ‘Jawatankuasa Tindakan Kebakaran Hospital’, yang merupakan inisiatif hospital dalam memastikan dan memantau ‘Standard Operating Procedure (SOP) dan pelan tindakan kebakaran sentiasa dikemas kini dan dipatuhi semua pihak dari masa ke masa.

Sesi bergambar ramai bersama peserta kursus Marsyal Bomba, Hospital PIHM.
Sesi bergambar ramai bersama peserta kursus Marsyal Bomba, Hospital PIHM.

“Di samping itu jawatankuasa ini berperanan memastikan setiap peralatan-peralatan pencegah dan pengawal kebakaran yang terdapat di hospital ini dalam keadaan baik dan siap sedia untuk digunakan. Pelbagai rancangan berterusan dengan pasukan bomba dan penyelamat juga telah dan akan dilaksanakan dari masa ke masa,” menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital PIHM Temburong, Awang Haji Mohammad Khairul Anuar bin Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin, dalam ucapan alu-aluan Majlis Penutup Kursus Latihan Marsyal Bomba kali ini.

Seramai 15 orang pegawai dan kakitangan mewakili bahagian-bahagian dan unit di hospital tersebut telah menerima sijil penyertaan mereka, yang disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Operasi ‘G” Daerah Temburong, Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya. Acara berlangsung di Bilik Muzakarah Hospital PIHM Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA