Tambah amalan dalam bulan Ramadan

Tambah amalan dalam bulan Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI), hari ini, telah mengadakan Majlis Bertadarus di Surau Berakas, Garison, sebagai salah satu aktiviti tahunannya dalam bulan Ramadan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), iaitu Datin Sakdiah binti Haji Mohd Noor.

Turut hadir ialah para isteri pemerintah-pemerintah ABDB dan komandan tetap, isteri-isteri pengarah tentera serta ahli-ahli 13 buah persatuan wanita di negara ini.

Sementara itu, sepanjang bulan Ramadan ini, Kementerian Pertahanan akan menganjurkan Ihya Ramadan di kesemua surau ABDB dalam perkhemahan atau garison.

Aktiviti-aktiviti yang akan diungkayahkan dalam program berkenaan ialah terawih berjemaah, bertadarus, Qiamulail, tahlil di Kubah Makam Diraja, Sentuhan Kasih dan banyak lagi.

Datin Sakdiah hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu.
Datin Sakdiah hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu.

Manakala itu, Majlis Khatam dan Nuzul Al-Quran yang juga terkandung dalam program Ihya Ramadhan dan Qiamulail, akan diadakan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, ABDB mengumumkan kepada orang ramai bahawa kesemua surau ABDB dalam perkhemahan/garison dibukakan untuk kegunaan orang awam sepanjang bulan Ramadan, bagi mana-mana pihak yang ingin memeriahkan lagi bulan suci ini dengan memaklumkan kepada ABDB terlebih dahulu.

Antara surau-surau di bawah naungan ABDB yang dibukakan kepada orang ramai ialah Surau Berakas Garison, Surau Bolkiah Garison, Lumut, Tutong, Penanjong, Muara, Sungai Akar dan Surau ABDB di Pulau Baru-Baru.