Tambah aset, tingkat komitmen mantapkan ESSCom

Tambah aset, tingkat komitmen mantapkan ESSCom

PUTRAJAYA, 17 Dis – Kerajaan sedang menambah aset bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain aset, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pertambahan komitmen anggota penguat kuasa dan meningkatkan ‘omni presence’ di sepanjang 1,700 kilometer Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) penting bagi mempertahankan kedaulatan negara, khususnya di kawasan persisiran Sabah.

Antara aset yang ditambah termasuk radar yang lebih canggih dengan liputan lebih luas, helikopter tempur dan dron, katanya.

“Kesiapsiagaan tidak hanya boleh dibuat melalui retorik dan komitmen di atas kertas sahaja. Kita mesti memenuhi keperluan pemantauan dan kesiapsiagaan anggota penguat kuasa,” katanya pada sidang media mengenai ESSCom di sini hari ini.

Pada sidang media itu Ahmad Zahid turut memperkenalkan Komander ESSCom baru iaitu SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bagi menggantikan DCP Abdul Rashid Harun yang dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuat kuasa 23 Dis. Selain itu, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu ESSCom menggantikan Ruji Ubi yang dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, berkuat kuasa 16 Dis.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memperkenalkan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baru, SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan). – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memperkenalkan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baru, SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan). – Bernama

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi mengenai projek pembangunan serta perolehan bagi kegunaan ESSCom di ESSZone di Kementerian Dalam Negeri di sini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ditanya mengenai kawalan keselamatan di ESSZone ketika ini, Ahmad Zahid berkata kawalan cukup baik dari segi semangat anggota.

“Dulu ESSCom diwujudkan bagi mendepani permasalahan (pencerobohan). Semua kemudahan dibuat dalam bentuk sementara. Oleh kerana itu, kita serius menyelesaikan masalah ini, keputusan dibuat agar bangunan dijadikan aset kekal,” katanya. – Bernama