Tambah pendapatan pengusaha teksi

Tambah pendapatan pengusaha teksi

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Dengan adanya sistem teksi bermeter yang di perkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor (MTLA), ia diharap dapat menambah pendapatan pengusaha dan memberi dorongan kepada generasi muda untuk mengambil peluang ini sebagai pekerjaan mereka.

Yang Dipertua Persatuan Pemandu-pemandu Teksi Negara Brunei Darussalam, Awang Sia Ho Chai berkata, ahli persatuan sangat menghargai usaha gigih yang diungkayahkan Kementerian Perhubungan melalui MTLA dan JPD.

Bidang ini, katanya, perlu disasarkan kepada generasi muda sama ada lelaki dan perempuan yang masih belum memiliki pekerjaan tetap untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan di samping dapat mengatasi masalah pengangguran.

Awang Sia Ho Chai berkata sedemikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sistem Teksi Bermeter di kawasan letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Beliau seterusnya melahirkan harapan dengan adanya teksi bermeter ini dapat memberikan keyakinan kepada pengguna sama ada dari luar dan dalam negara khususnya rakyat Brunei sendiri selain mendapat kerjasama daripada pihak lain seperti perhotelan, kawasan komersial dan kawasan tertentu untuk kemudahan orang ramai.

Awang Sia Ho Chai ketika menyampaikan ucapannya selepas perlancaran teksi bermeter.
Awang Sia Ho Chai ketika menyampaikan ucapannya selepas perlancaran teksi bermeter.

Sementara itu, salah seorang pemandu teksi yang sempat ditemui, Haji Mohd Judin bin Haji Serudin menyambut baik sistem teksi bermeter yang baru ini, walaupun ia sedikit menjejaskan pendapatan yang diperolehi daripada sebelum adanya sistem ini dilaksanakan.

Beliau yang mula memandu teksi sejak tahun 2009 berkata, dengan adanya teksi bermeter ini, ia memberi keyakinan kepada penumpang supaya tidak ada perasaan ragu-ragu terhadap kadar diberikan yang disertakan dengan resit.

Menurutnya, masalah yang sering dihadapi adalah teksi sapu dan pihak yang menyamar sebagai pemandu hotel.

Dalam usaha menyokong sistem ini, beliau melahirkan harapan agar pihak berkenaan akan dapat membantu memantau dan mengambil tindakan ke atas teksi sapu dan pihak yang menyamar sebagai pemandu hotel.

ARTIKEL YANG SAMA