Tambah terminal, tampung jumlah penumpang

Tambah terminal, tampung jumlah penumpang

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka dilengkapi terminal baharu bagi menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi.

Beliau berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka mengemukakan cadangan pembangunan terminal ketiga itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi selepas kajian terperincinya selesai.

Katanya, pembangunan itu penting bagi menampung permintaan terminal utama berkenaan manakala terminal kedua, klia2 pula hampir mencapai kapasiti penuh.

“MAHB sedang membuat perancangan bagi merumuskan cadangan terminal baharu itu dan disusuli dengan pembentangan kepada kerajaan untuk diputuskan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang mengikuti penerbangan sulung Malindo Air ke Perth, Australia, baru-baru ini.

Salah sebuah daripada terminal Klia yang mengendalikan 23 juta penumpang dalam tempoh lima bulan dan kini sedang menjalani usaha naik taraf seterusnya. – AFP
Salah sebuah daripada terminal Klia yang mengendalikan 23 juta penumpang dalam tempoh lima bulan dan kini sedang menjalani usaha naik taraf seterusnya. – AFP

Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata jumlah penumpang di KLIA kian meningkat, termasuk mengendalikan seramai 23 juta penumpang tahun lepas yang seiring perkembangan industri penerbangan.

Beliau turut menyifatkan rancangan pembangunan terminal baharu itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab transit penerbangan di rantau ini berikutan kedudukan Kuala Lumpur yang strategik.

Malah, katanya, pembangunan itu akan membolehkan KLIA memiliki kapasiti pengendalian penumpang yang mencecah sehingga 100 juta orang secara keseluruhannya.

“Terminal utama KLIA mampu mengendalikan sehingga 25 juta penumpang setahun manakala klia2 memiliki kapasiti sehingga 45 juta penumpang setahun,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA