Tambahan penerbangan mampu kembangkan sektor pelancongan

Tambahan penerbangan mampu kembangkan sektor pelancongan

SANDAKAN, 2 Nov (Bernama)– Cadangan penambahan penerbangan domestik dari Pulau Pinang dan Johor Baharu ke Sandakan mampu mengembangkan sektor pelancongan di daerah ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Johnny Lim berkata usaha menambah penerbangan di Lapangan Terbang Sandakan, adalah antara diperjuangkan persatuan itu demi masa depan sektor pelancongan daerah berkenaan.

Katanya langkah itu turut akan memberi impak kepada daerah berhampiran khususnya Kinabatangan.

Pada masa ini, katanya penerbangan terus yang ada di Lapangan Terbang Sandakan hanya dari Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, yang mengehadkan jumlah kehadiran pelancongan domestik dan luar negara ke Sandakan.

“Sedangkan Sandakan mempunyai banyak tarikan pelancongan, begitu juga kawasan Kinabatangan yang menarik berasaskan alam semula jadi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi baru-baru ini, yang dipetik sebagai berkata terdapat keperluan menambah penerbangan dari Johor Baharu dan Pulau Pinang ke Sandakan, kerana daerah ini tulang belakang kepada industri pelancongan negeri, dan wajar usaha menggalakkan kedatangan banyak pelancong dilakukan.

Sehubungan itu, Johnny yang juga Naib Presiden Persatuan Pengusaha Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) berharap kerajaan negeri dan persekutuan mengambil perhatian kepada usaha menambah penerbangan di Lapangan Terbang Sandakan.