Tambatan dolar HK berdepan risiko

Tambatan dolar HK berdepan risiko

HONG KONG, 20 Jan – Penganalisis memberi amaran tambatan dolar Hong Kong kepada dolar Amerika Syarikat (AS) selepas berdekad lalu mungkin berdepan risiko kerana pasaran sahamnya terus mencatatkan kejatuhan teruk.

Penanda aras Bursa Hong Kong, Indeks Hang Seng menjunam 3.77 peratus ke paras terendah dalam tempoh empat tahun pada sesi pagi berikutan kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi China dan kelemahan harga minyak, dengan harga saham berkaitan China terjejas teruk.

Bursa Hong Kong jatuh lebih 10 peratus sejak permulaan tahun ini. Penjualan besar-besaran memberi tekanan besar kepada dolar Hong Kong, yang mana menyusut ke paras terendahnya berbanding dolar AS sejak 2007.

Keadaan itu menimbulkan dilema. Peniaga melihat kejatuhan dolar Hong Kong sebagai tanda kepada pengaliran keluar modal, yang mana memandu mereka untuk terus menjual saham dan menjejaskan mata wang itu.

“Beberapa hari lalu, kelemahan dolar Hong Kong menjejaskan sentimen pelaburan, orang ramai bimbang dana keluar daripada pasaran Hong Kong, ia memberi perspektif negatif,” kata Penganalisis Kewangan, Jackson Wong.

Francis Lun dari pembroker Hong Kong, GEO Securities memberitahu AFP, peniaga membuat spekulasi bahawa dolar Hong Kong mungkin runtuh.

“Terdapat banyak wang spekulatif di seluruh dunia,” katanya sambil menambah, kerajaan Hong Kong mempunyai langkah yang cukup untuk mempertahankan tambatan bertempoh 32 tahun itu.

Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong (HKMA) bertanggungjawab untuk bertindak dengan membeli atau menjual dolar Hong Kong sama ada ia mencecah julat dagangan HK$7.75 (RM4.33) – HK$7.85 (RM4.39) berbanding dolar AS.

HKMA terpaksa untuk campur tangan bagi melindungi tambatan dalam keadaan tertentu. Antara paling besar adalah pada Julai dan Ogos 2014 apabila ia masuk campur sebanyak 24 kali, menyuntik AS$9.7 bilion (RM5.43 bilion) ke dalam sistem kewangan kerana dolar tempatan meningkat berbanding dolar AS, sekali gus menyebabkan kebanjiran tunai yang meninjau akses ke pasaran China.

Bagaimanapun, Wong mencadangkan kebimbangan mengenai tambatan terlalu berlebihan, sementara HKMA belum lagi campur tangan. “Kita belum lagi mencecah paras rendah. HKMA akan cuba menstabilkan dolar Hong Kong dan pada ketika ini kita belum melihat ia berlaku, jadi saya tidak fikir ini akan memberi tekanan,” kata Wong dari firma pembrokeran, Kumpulan Simsen Financial. – AFP