Tambatan ringgit undang serangan spekulatif

Tambatan ringgit undang serangan spekulatif

SINGAPURA, 25 Ogos (Bernama) – Berdasarkan kedudukan ringgit yang terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat, pakar ekonomi melihat tambatan bukan jalan penyelesaian, bahkan ia boleh mengundang serangan spekulasi ke atas mata wang.

Dr Shane Oliver, Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi di AMP Capital Investors berkata: “Saya berpendapat tambatan ringgit kepada dolar adalah sukar, memandangkan rizab Malaysia yang merosot, malah hanya akan mengundang serangan spekulatif.

“Ini terutamanya ketika harga minyak masih rendah dan negara lain turut menyaksikan nilai mata wang masing-masing merosot.

“Adalah lebih baik untuk memanfaatkan kedudukan semasa dan menunggu peningkatan eksport hasil daripada kedudukan ringgit yang lebih rendah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini

Oliver mengulas mengenai kedudukan ringgit berbanding dolar US selain dolar Singapura.

Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi di AMP Capital Investors, dr Shane Oliver.
Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi di AMP Capital Investors, dr Shane Oliver.

Ringgit ditutup lebih rendah, di bawah paras 4.26 pada pagi Selasa, berbanding dolar AS.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service Christian de Guzman berkata aliran keluar modal ekoran kejatuhan ringgit merupakan kredit negatif.

“Ringgit yang lemah memberi impak yang berbeza ke atas syarikat Malaysia.

“Ia menjadi negatif kepada syarikat yang mungkin terdedah kepada pengukuhan dolar US menerusi hutang rentas sempadan memandangkan obligasi perkhidmatan mereka kini lebih tinggi dari segi ringgit.

“Sebaliknya, syarikat yang produknya bersaing dalam pasaran antarabangsa, mungkin memperoleh manfaat daripada ringgit yang lebih lemah. Ini disebabkan barangan perkilangan dengan kos buruh dan input domestik lain telah jatuh disebabkan kedudukan dolar AS,” katanya.