Tampil suasana bak pasar Ramadan

Tampil suasana bak pasar Ramadan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Setiap kali bulan Ramadan, Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, tidak pernah ketinggalan mengadakan promosi bufet, yang menjadi salah satu pilihan ramai untuk berbuka puasa.

Justeru itu, Media Permata berpeluang berkunjung ke restoran berkenaan untuk melihat sendiri hidangan yang disajikan bagi Promosi Bufet Sungkai tahun ini.

Pengurus Perancangan Perniagaan Tarindak, Awang Idris bin Ahmad, memberitahu, tahun ini mereka mengekalkan juadah yang mendapat sambutan dan cuba menukar apa yang perlu mengikut respons orang ramai yang menjamu selera semasa promosi berkenaan.

Menurut beliau, Tarindak D’Polo meneruskan tradisinya menyediakan makanan segar dan baru, dan turut menampilkan tiga hidangan tambahan iaitu Putu Piring, wafel dan piza yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Pelanggan memilih makanan untuk berbuka puasa di Tarindak D’Polo.
Pelanggan memilih makanan untuk berbuka puasa di Tarindak D’Polo.
Ketenangan Tarindak D’Polo ketika waktu berbuka puasa.
Ketenangan Tarindak D’Polo ketika waktu berbuka puasa.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Tarindak D’Polo cuba menampilkan suasana pasar Ramadan yang berjaya menarik orang ramai untuk menjadikannya sebagai salah satu destinasi pilihan untuk bersungkai terutamanya bagi kelompok besar dalam kalangan keluarga dan perniagaan.

Awang Idris memberitahu, bufet kali ini menampilkan kira-kira 300 hidangan dan beliau menyatakan perasaan gembiranya untuk melihat respons positif daripada pelanggan yang memenuhi Tarindak D’Polo sejak hari pertama Ramadan lagi.

“Kami di Tarindak akan terus memberikan perkhidmatan dan menyajikan makanan berkualiti yang menjadikan salah satu sebab Tarindak dipilih sebagai tempat berbuka puasa pilihan dalam kalangan pelanggan negara ini,” ujarnya.

Warga Tarindak D’Polo yang siap sedia melayan pelanggan.
Warga Tarindak D’Polo yang siap sedia melayan pelanggan.
Bertih jagung antara yang mendapat sambutan di restoran tersebut.
Bertih jagung antara yang mendapat sambutan di restoran tersebut.

Pasukan dapur Tarindak memberikan keutamaan kepada makanan gabungan tempatan, timur tengah dan Mediterranean seperti Kambing Panggang, Lamb Mandey, Bubur lambok, makanan goreng dan banyak lagi pilihan makanan utama serta hidangan pencuci mulut yang turut mengetengahkan kuih muih tradisional.

Seperti sebelum ini, konsep pondok gerai jualan menjadi konsep utama dan menampilkan pelbagai jenis minuman sejuk dan panas dan juga makanan untuk kanak-kanak seperti gulali, bertih jagung, roti canai, dan Ambuyat.

ARTIKEL YANG SAMA