Tampines Rovers sambar Pennant

Tampines Rovers sambar Pennant

SINGAPURA, 19 Jan – Bekas pemain sayap Arsenal dan Liverpool Jermaine Pennant menandatangani perjanjian untuk menyertai sebuah kelab bola sepak Singapura hari ini, dengan harapan untuk menghidupkan semula kerjayanya dan meningkatkan liga profesional tempatan yang bermasalah.

Pemain berusia 33 tahun itu menyertai Tampines Rovers, juara lima kali Liga Singapura (Liga-S), di bawah kontrak setahun. Pengerusi Tampines Krishna Ramachandra tidak memberikan butiran gaji tetapi memberitahu pemberita bahawa ia angka yang menarik.

Akhbar The Straits Times minggu lepas berkata bahawa Pennant akan dibayar kira-kira Sg$40,000 (AS$ 28,000) sebulan, kurang satu perempat daripada gaji terakhir yang diterimanya di Wigan Athletic.

Namun gajinya boleh meningkat dengan bonus berkaitan bilangan penampilan, prestasi dan pencapaian pasukan, penyampai Channel NewsAsia melaporkan.

Penasihat Tampines, Tan Hock Seng (kanan) memperkenalkan jersi kelab kepada Pennant (kiri) selepas menandatangani perjanjian bersama Tampines di Singapura, semalam. - AFP
Penasihat Tampines, Tan Hock Seng (kanan) memperkenalkan jersi kelab kepada Pennant (kiri) selepas menandatangani perjanjian bersama Tampines di Singapura, semalam. – AFP

Walaupun pemotongan besar, Pennant akan menjadi pemain mendapat bayaran paling tinggi dalam sejarah 21 tahun Liga-S. Beliau juga diberikan sebuah kereta pada majlis tersebut.

“Tidak kira di mana anda pergi di dunia ini. Ia sentiasa menjadi peluang besar untuk membuktikan diri tanpa mengira peringkat,” kata Pennant yang menegaskan sudah melupakan hari-hari liar selepas kelahiran anaknya pada 2010.

“Saya tidak melihat ia sebagai liga yang rendah. Ia hanya satu lagi bab dalam kerjaya saya,” tambah Pennant merujuk kepada Liga-S yang telah mengalami penyusutan kehadiran.

Pennant akan menyarung jersi nombor sembilan untuk Tampines, naib juara musim lalu. Pemain sayap itu, yang menghampiri penghujung kerjaya gemilangnya, menjalani ujian bersama kelab sejak tiba 7 Januari lalu.

“Komponen kewangan (kontrak) bukanlah angka yang biasa kami bayar secara tradisional kepada pemain kami. Kami bernasib baik kerana beberapa penaja tampil untuk menyerap kos berkaitan perjanjian,” Ramachandra memberitahu AFP minggu lepas. – AFP