Tampines Rovers ujian getir DPMM FC

Tampines Rovers ujian getir DPMM FC

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Perlawanan menentang Tampines Rovers esok pastinya ujian getir kerana tuan rumah sudah pasti tidak akan membenarkan Brunei DPMM FC menang mudah apatah lagi mereka sendiri masih berpeluang mengejar pendahulu Liga Singapura (Liga-S), Albirex Niigata FC (S).

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC Steve Kean berkata demikian ketika ditemui di Stadium Mini Jerudong mengenai aksi menentang Tampines Rovers di Stadium Jurong West, Singapura.

“Kita masih berpeluang menduduki tempat kedua liga tahun ini dan ia memberikan tekanan kepada pasukan namun saya yakin akan kemampuan semua pemain lebih-lebih lagi kita ada baki satu perlawanan menentang Balesteir Khalsa FC pada 26 Oktober depan,” ujarnya lagi.

Mengejar kedudukan kedua adalah objektif pasukan masa ini dan ia bukan kerja mudah namun Paolo Sergio dan Azwan Ali Rahman akan menjalankan tugas masing-masing setelah terlepas peluang menentang Garena Young Lions di tempat sendiri.

Barisan pemain Brunei DPMM FC yang diturunkan menentang Garena Young Lions di Bandar Seri Begawan pada 26 September lalu. - Infofoto
Barisan pemain Brunei DPMM FC yang diturunkan menentang Garena Young Lions di Bandar Seri Begawan pada 26 September lalu. – Infofoto

“Namun kita juga kehilangan dua tunjang utama antaranya ketua pasukan, Rosmin Khamis dan Maududi kerana penggantungan setelah mendapat kad kuning kedua pada pertemuan tempoh hari,” tegasnya lagi.

Beliau turut menegaskan supaya semua pemain terus berjuang sehingga wisel penamat dan belajar daripada kesilapan pada perlawanan menentang Garena Young Lions.

“Jika kita berpeluang mendahului esok, saya mengingatkan pemain untuk mengawal diri dan meneruskan misi mengalahkan Tampines Rovers,” tegas Kean lagi.

Namun beliau mahu semua pemain terus fokus kerana Tampines Rovers tidak akan membiarkan Brunei DPMM FC mendapat peluang apatah lagi untuk memintas mereka dalam perlumbaan ke puncak liga tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA