Tamu Bulanan Kg. Mulaut rai ulang tahun pertama

Tamu Bulanan Kg. Mulaut rai ulang tahun pertama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Tamu Bulanan Kampung Mulaut yang terletak di kawasan letak kereta Gedung Perniagaan Hua Ho Mulaut, akan menyambut ulang tahun pertama penubuhannya pada 28 Februari ini.

Sehubungan itu, para penduduk yang tinggal di sekitar Kampung Mulaut dialu-alukan menyertai tamu bulanan tersebut bagi bulan Februari/Mac 2016 dengan harga sewa untuk satu petak sebanyak $20 sahaja.

Tujuan utama tamu bulanan tersebut adalah bagi memberi peluang untuk penduduk Kampung Mulaut menjual atau memasarkan hasil pertanian, kraf tangan, makanan, pakaian dan sebagainya bagi menambah rezeki dan pendapatan anak-anak buah kampung.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada para belia yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap untuk mencuba bidang perusahaan.

Di samping gerai jualan, pelbagai acara juga akan diadakan pada hari tersebut, yang akan bermula dari jam 6 pagi hingga 6 petang, antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, bouncer, dan cabutan tiket bertuah untuk para pembeli.

Antara barang-barang yang akan dijual nanti ialah barangan kraf tangan, madu, hasil pertanian dan sayur hutan, pakaian dan barang-barang dapur yang baru dan terpakai, serta makanan dan minum.

Tamu Bulanan Kampung Mulaut anjuran Biro Ekonomi dan Pendidikan Majlis Perundingan Kampung Mulaut ini merupakan tamu yang diadakan setiap sebulan sekali dan telah bermula sejak 6 Januari 2015.

ARTIKEL YANG SAMA