TAMU KIANGGEH BARU MULA JADI TUMPUAN

TAMU KIANGGEH BARU MULA JADI TUMPUAN

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Tamu Kianggeh baru mula menjadi tumpuan umat Islam untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan bagi mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari kelima.

Tinjauan Media Permata ke tamu berkenaan, hari ini, mendapati jalan menuju ke tamu itu mula sesak dari awal jam 9 pagi lagi, di mana, ramai orang membeli barangan keperluan dan ikan-ikan segar yang mempunyai banyak pilihan.

Salah seorang penjual ikan yang ditemui di tamu berkenaan, Haji Daud bin Haji Suana berkata ramai pengunjung tamu mula kelihatan membeli sayur-sayuran dan ikan-ikan segar sejak awal lagi.

Menurut beliau, walaupun pada bulan Ramadan jualan ikan agak merosot tetapi musim Hari Raya ini jualan meningkat terutama apabila orang ramai mula mengadakan rumah terbuka pada kedatangan minggu kedua Aidilfitri.

Suasana di Tamu Kianggeh baru yang mula menjadi tumpuan ramai.
Suasana di Tamu Kianggeh baru yang mula menjadi tumpuan ramai.

Menyentuh mengenai kemudahan di tamu baru ini, Haji Daud dan isteri melahirkan rasa syukur kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan Baginda Sultan yang telah menyediakan kemudahan tempat penjualan yang begitu selesa yang termasuk elektrik, lampu, kipas dan air bagi memberikan keselesaan kepada mereka semasa menjalankan perniagaan seharian.

Isteri beliau, Dayang Haliah binti Haji Yusop pula berkata, “Alhamdulillah, kami sangat bersyukur di atas kurnia ini sejak dipindahkan 1 Jun lalu. Setakat ini tiada sebarang bayaran sewa dikenakan dan diharap ia sentiasa diteruskan untuk membantu rezeki seharian kami.”

Cheing Mee Tick, yang telah berjaja di Tamu Kianggeh selama 30 tahun, memberitahu bahawa jualan beliau turut meningkat pada musim perayaan ini.

Beliau yang menjual kuih tradisional Cina turut berasa senang di atas peningkatan jualan terutama musim perayaan ini, apatah lagi beliau melihat semakin banyak generasi muda melawat dan membeli di tamu baru yang mana sebelumnya jarang sekali melihat anak muda berada di tamu lama.

Walau bagaimanapun, beliau masih menunggu harga sewa yang belum diumumkan oleh pihak kerajaan sehingga kini dan berharap pihak kerajaan akan memberikan yang terbaik kepada peniaga di sana terutama harga sewa sekurang-kurangnya $1 sehari.

Manakala itu, salah seorang pengunjung yang sering mengunjungi pasar tamu berkenaan, Haji Jamil berkata bahawa beliau datang ke pasar itu untuk membeli barang keperluan dapur sebagai persediaan rumah terbuka mereka nanti.

“Antara yang dibeli seperti ikan, rempah-rempah dan sayur-sayuran yang dijual agak begitu murah dan segar, kesemua barangan keperluan boleh didapati di sini. Tempatnya juga teratur berbanding dengan pasar tamu lama,” ujarnya.

Tamu Kianggeh yang merupakan pasar terbuka dan terletak di tepi Sungai Kianggeh memang terkenal dan menjadi destinasi tarikan pelancong asing yang datang ke Negara Brunei Darussalam.

Tamu tersebut menjual pelbagai barangan termasuk juadah dan buah-buahan tempatan, ikan, sayuran, kraf tangan serta produk-produk tradisional buatan tempatan yang lain.

Tamu Kianggeh yang bermula pada awal 1960-an dahulunya merupakan tempat para padian wanita menjual pelbagai hasil produk mereka dengan menggunakan sampan yang juga dikenali sebagai jumpung dan tempat ini juga dikatakan pernah menerima lawatan daripada Ratu Elizabeth II sebanyak dua kali dan juga Pewaris Takhta United Kingdom, Putera Charles sekitar tahun 1980-an.

ARTIKEL YANG SAMA