Tamu Kianggeh berwajah baru

Tamu Kianggeh berwajah baru

Oleh Lenna N.B.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Tamu Kianggeh akan berwajah baru apabila bangunan baru yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan terletak bersebelahan dengan yang sedia ada, kini siap pembinaannya.

Menurut kontraktor, kerja-kerja pembinaan sudah pun bermula 18 April lalu kini siap sepenuhnya dalam tempoh 40 hari dan dijangka diserahkan kepada pihak kerajaan Isnin ini.

Ia merupakan lokasi baru bagi peniaga-peniaga Tamu Kianggeh yang mempunyai keluasan 4,200 kaki per segi dengan jumlah gerai yang bakal ditempatkan di sana sebanyak 313 buah.

Penempatan gerai ini pula dibahagikan kepada 10 bahagian dari A hingga J merangkumi gerai cenderamata dan kraf, sayur-sayur segar dan makanan, ayam segar, ikan, produk barbeku, gerai makan dan sebagainya.

Tamu Kianggeh berwajah baru yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Tamu Kianggeh berwajah baru yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Setiap gerai jualan dilengkapi dengan kemudahan elektrik, lampu, dan kipas angin. Malah, mempunyai tempat penyimpanan barang-barang khas untuk peniaga. Selain itu, terdapat juga kemudahan surau, stesen polis dan sekuriti. Tangga jeti juga disediakan untuk memudahkan para peniaga menurunkan barang-barang perniagaan mereka. Tempat letak kereta pula boleh memuatkan hingga 400 buah kereta bagi memudahkan para pengunjung manakala jalan keluar masuk juga berasingan, sekali gus dapat mengelak kesesakan lalu lintas. Menurut para peniaga Tamu Kianggeh, mereka bakal berpindah pada 1 Jun ini. Pengundian gerai sudah pun dilakukan dan masing-masing begitu teruja  untuk berniaga di tamu baru yang setentunya lebih selesa dari tamu asal.

ARTIKEL YANG SAMA