Tamu Pekan Taginambur perlu dinaik taraf

Tamu Pekan Taginambur perlu dinaik taraf

KOTA BELUD, 21 Dis (UB) – Tamu Pekan Taginambur perlu dinaik taraf sebagai salah satu medium ekonomi penting rakyat di sebelah hulu Kadamaian.

Tamu lebih dikenali sebagai Tamu Batu 10 itu terletak di tebing Sungai Kadamaian diadakan pada setiap hari Jumaat. Tamu itu menjadi medan utama pemasaran hasil dari kampung yang berdekatan.

Wakil Rakyat Kadamaian, Jeremy Malajad berkata, sudah tiba masanya Tamu Batu 10 berkenaan diambil perhatian agar prasarana itu dapat meningkatkan keceriaan dan kemudahan di tapak tamu berkenaan.

Beliau berucap pada majlis perasmian Gotong-Royong Perdana anjuran gabungan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kawasan Taginambur, ahli jawatankuasa pelaksana sambutan ulang tahun 65 Pekan Taginambur dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taginambur di Dewan Gopog.

“Kita telah mencadangkan penambahbaikan Tamu Batu 10 termasuklah cadangan sebuah pentas budaya untuk menonjolkan budaya suku kaum kepada pengunjung. Ini adalah salah satu pengisian penting pratamu besar Kota Belud pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, tamu adalah satu warisan yang mempertemukan pelbagai bangsa, mewujudkan hubungan yang baik dan memasarkan produk tempatan.

Tamu Batu 10 seperti tamu mingguan Kota Belud mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, katanya.

Jeremy yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.7 Kadamaian berkata, Tamu Batu 10 perlu dinaik taraf sesuai dengan peranannya menghubungkan orang ramai dan para pelancong ke Kota Belud.

Katanya salah satu kekuatan di Kadamaian ialah pelancongan, sudah tiba masanya pekan dan tamu dapat dibangunkan sesuai dengan status pekan luar bandar.

Turut sama pada program itu ialah kakitangan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, JKR dan MDKB.