Tamu Seni semakin mendapat sambutan

Tamu Seni semakin mendapat sambutan

Oleh Norizan Murshid

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Tamu Seni yang diadakan pada hari Jumaat pertama setiap bulan anjuran Kumpulan Putra Seni semakin mendapat sambutan daripada penggiat seni tanah air.

Tamu Seni di Kafe Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, yang telah berlangsung baru-baru ini telah menjemput tetamu undangan Hajah Siti Salbiah Zahari dari Negeri Sembilan dan Setiausaha Agung Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin dengan tajuk ‘Cabaran Pengkomersialan Teater’.

Hajah Salbiah merupakan pesara Nazir Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dan aktivis sastera dan teater di Negeri Sembilan.

Sakrani pula adalah aktivis teater Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam produksi teater. Beliau pernah menjadi tenaga produksi bagi persembahan ‘Flora dan Fauna’ semasa Sukan SEA di Brunei pada tahun 1999. Pada masa ini mereka berusaha membawa teater Asy Syura keliling Malaysia dan negara rantau Melayu.

Antara penggiat seni yang terlibat dalam Tamu Seni di Kafe Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Antara penggiat seni yang terlibat dalam Tamu Seni di Kafe Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Antara penggiat seni tanah air yang hadir ialah Pengiran Haji Mohd Don bin Pengiran Haji Besar, Shafie Mostar, Zulkifli Butir, Maimon Abu Bakar, Haji Mohd Sapami Abdullah, Haji Hussin Haji Abdul Rahman, Mohd Farid Azlan, Nurain Abdullah, para mahasiswa Universiti Brunei Darussalam dan ahli-ahli Putra Seni.

Tamu Seni adalah wadah kegiatan yang memperihal pelbagai bidang seni yang dimesrai oleh para penggiat seni tempatan melalui kegiatan-kegiatan yang bersifat interaksi intelektual yang diupayakan melalui ruang perbincangan, tunjuk ajar (demo/bengkel), persembahan, pameran, komersial (pasaran produk seni) dan sebagainya.

Tamu Seni dihasratkan menjadi pemangkin intelektual dan hab seni sekali gus menjadi medan para penggiat seni tempatan kepada masyarakat umum. Tamu Seni dikendalikan dalam konsep santai dan sederhana.