Tanah runtuh di China, 41 dikhuatiri maut

Tanah runtuh di China, 41 dikhuatiri maut

BEIJING, 20 Dis (AFP) – Tanah runtuh di kawasan industri di selatan China menimbus 22 bangunan dan menyebabkan 41 orang hilang dan dikhuatiri maut hari ini, lapor media milik negara, tatkala lebih 1,500 anggota penyelamat berhempas pulas menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Seramai tujuh mangsa sudah pun berjaya diselamatkan, dengan hanya seorang daripada mereka mengalami cedera ringan, selepas nahas di bandar Shenzhen di selatan yang bersempadankan Hong Kong, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Setakat ini masih belum jelas sama ada terdapat korban jiwa dan Xinhua tidak memberikan penjelasan lanjut berhubung 41 orang yang masih hilang tersebut.

Kira-kira 900 orang dikeluarkan sebelum tanah runtuh melanda pada lewat pagi, menurut akhbar Shenzhen Evening News.

Anggota penyelamat berusaha mengesan mangsa yang masih selamat selepas tanah runtuh melanda kawasan industri di Shenzhen, selatan wilayah Guangdong di China pada 20 Disember 2015. – AFP
Anggota penyelamat berusaha mengesan mangsa yang masih selamat selepas tanah runtuh melanda kawasan industri di Shenzhen, selatan wilayah Guangdong di China pada 20 Disember 2015. – AFP

Tanah runtuh tersebut menimbus 22 bangunan termasuk dua asrama pekerja, kata badan penyiaran negara CCTV. Tetapi ia memetik Ren Jiguang, timbalan ketua biro keselamatan awam Shenzhen sebagai berkata kebanyakan orang berjaya dipindahkan terlebih dahulu sebelum nahas berlaku. Punca tanah runtuh masih belum jelas. Rakaman video yang dikeluarkan Xinhua menunjukkan sebahagian runtuhan tempat di mana tersergamnya bangunan sebelum ini.

Beberapa buah helikopter turut dilihat menyertai operasi menyelamat.

Tanah runtuh pada bulan lepas yang menimbus 27 buah rumah di pedalaman wilayah Zhejiang mengorbankan 38 orang.