Tanah runtuh jejas penduduk Kampung Tambatuon

Tanah runtuh jejas penduduk Kampung Tambatuon

KOTA KINABALU, 28 Julai (Bernama) – Rutin harian penduduk Kampung Tambatuon di Kota Belud terjejas ekoran kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku hingga menghalang perjalanan keluar dan masuk ke kampung itu.

Penduduk kampung itu Jentany Rongod berkata kira-kira 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang sukar menghadiri sesi persekolahan kerana kenderaan yang dinaiki mereka tidak dapat melalui jalan itu jika berlakunya runtuhan.

“Saya menjadi risau dengan pelajaran anak kerana sudah banyak kali tidak dapat datang ke sekolah akibat jalan runtuh, berlumpur dan licin bila hujan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kekerapan tanah runtuh itu juga mengakibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan Tambatuon turut terjejas.

“Rata-rata guru-guru yang mengajar di sekolah rendah itu tinggal di luar kampung. Jika hujan berlaku, tanah runtuh juga berlaku dan jalan menjadi berlumpur dan licin,” katanya.

Jentany berkata, ekonomi penduduk kampung juga turut terjejas kerana sukar memasarkan hasil pertanian mereka di pekan.