Tanah runtuh lombong ragut 17 nyawa

Tanah runtuh lombong ragut 17 nyawa

RIO DE JANEIRO, 6 Nov (AFP) – Satu empangan pecah semalam di tapak pembuangan lombong di Brazil, melepaskan aliran lumpur merah toksik yang menimbus sebuah kampung dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang, kata seorang pegawai. Lebih daripada 50 orang cedera dalam nahas itu di tenggara negeri Minas Gerais, kata Adao Severino Junior, ketua bomba di bandar Mariana.

Jumlah orang yang hilang nampaknya melebihi 40 namun ia belum rasmi lagi, tambah beliau. Gambar televisyen menunjukkan aliran kotoran beberapa meter panjang telahpun membanjiri rumah dan mengoyakkan bumbung mereka.

Lumpur daripada takungan buangan galian mencecah bumbung beberapa rumah, di mana penduduk terkandas menunggu untuk diselamatkan.

Beberapa rumah nampaknya telah dihanyutkan beberapa ratus meter oleh limpahan lumpur. Kampung Bento Rodrigues berhampiran empangan sudah ditimbus 80 peratus, kata ketua bomba. Beberapa orang hilang dan lebih banyak runtuhan lumpur mungkin berlaku, kata beliau.

Keadaan kampung Bento Rodrigues yang ditenggelami tanah lumpur selepas satu empangan di tapak pembuangan lombong. - AFP
Keadaan kampung Bento Rodrigues yang ditenggelami tanah lumpur selepas satu empangan di tapak pembuangan lombong. – AFP

“Keadaan adalah suram dan gelap. Terdapat banyak lumpur,” kata Severino. “Tidak adanya orang yang hidup di bawah timbunan bahan berkenaan.”

Bento Rodrigues mempunyai 600 penduduk, kebanyakan mereka bekerja untuk syarikat perlombongan.

Memburukkan lagi keadaan, lumpur yang mengalir daripada takungan menumbang tiang elektrik dan memutuskan bekalan elektrik. Menjelang malam, kawasan bencana diselubunyi kegelapan. Datuk bandar Mariana Duarte Junior berkata pasukan menyelamat menghadapi masalah untuk sampai ke tapak.