Tanah runtuh ragut 29 jiwa

Tanah runtuh ragut 29 jiwa

KATHMANDU, 30 Julai (AFP) – Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dan berpuluh lagi hilang selepas runtuhan tanah yang dicetuskan oleh hujan lebat menghanyutkan dua kampung di Nepal hari ini.

Anggota penyelamat sedang mencari kira-kira 15 orang lagi menerusi runtuhan yang dipercayai hilang di barat daerah Kaski di kaki bukit Himalaya, kira-kira 150 kilometer dari barat Kathmandu.

“Jumlah kematian telah meningkat 26 orang dalam dua runtuhan tanah berlainan di daerah itu disebabkan hujan lebat pada malam semalam,” kata ketua polis Kaski Kedar Rajaure.

“Operasi menyelamat masih diteruskan. Kami cuba mencari orang hilang.”

Lapan belas orang yang cedera dalam nahas telahpun dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, beritahunya kepada AFP.

Keadaan kawasan yang terjejas oleh runtuhan tanah di Nepal kelmarin. – AFP
Keadaan kawasan yang terjejas oleh runtuhan tanah di Nepal kelmarin. – AFP

Tiga orang lagi, termasuk lelaki berusia 83 tahun, terkorban dalam tanah runtuh di kejiranan Myagdi dan Baglung, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Berpuluh orang meninggal dunia setiap tahun akibat banjir dan runtuhan tanah ketika musim monsun di Nepal.

Dua minggu lalu, seorang pelajar terbunuh apabila runtuhan tanah menimbus sebahagian daripada sekolah di bandar berhampiran Pokhara, dan 35 orang terkorban pada bulan lalu apabila satu runtuhan tanah memusnahkan kampung di timur laut Nepal.

Hujan monsun juga menghambat penghantaran bekalan bantuan ke kampung pergunungan yang dimusnahkan oleh gempa bumi yang melanda negara Himalaya pada 25 April.

Lebih daripada 8,800 orang terbunuh akibat gempa bumi dan satu gegaran lanjutan, dan ramai lagi yang kehilangan tempat tinggal.