Tanai budaya membaca dari awal

Tanai budaya membaca dari awal

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Dalam usaha menanai budaya membaca sejak kecil lagi dengan cara bersuka ria, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bandar Seri Begawan mengadakan Aktiviti Program Awal Literasi yang diadakan pada hari ini dan 2 April depan.

Aktiviti yang berlangsung di ruang kanak-kanak tingkat 1 perpustakaan berkenaan ini dikhususkan untuk kanak-kanak yang berumur di bawah tiga tahun, dan seramai 11 anak damit telah menghadiri sesi perjumpaan hari ini, manakala itu, 15 orang peserta pula bakal hadir pada 2 April 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang aktiviti berkenaan, beberapa aktiviti telah disediakan oleh pihak perpustakaan seperti meneka huruf dan nombor, menari dan menyanyi.

Aktiviti telah didahului dengan sesi senamrobik secara ringkas yang bertujuan untuk menyegarkan badan supaya membuatkan peserta yang hadir lebih aktif mengikuti aktiviti yang dijalankan.

Kemudian acara disusuli dengan aktiviti tarian kanak-kanak yang mana peserta menunjukkan respons positif. Walaupun hanya seramai 11 orang anak damit menghadiri sesi ini, suasana amat meriah dan kanak-kanak berasa gembira serta aktif melakukan aktiviti seolah-olah ia berunsurkan festival.

Anak-anak damit bersama penjaga mereka yang hadir pada aktiviti itu.
Anak-anak damit bersama penjaga mereka yang hadir pada aktiviti itu.
Salah seorang peserta meneka huruf yang ditanyakan.
Salah seorang peserta meneka huruf yang ditanyakan.

Setiap ibu bapa yang hadir telah diberikan satu pek mengandungi buku kira-kira dan huruf yang bersesuaian untuk kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Pihak perpustakaan juga memperkenalkan diari buku catatan peminjaman khusus untuk Program Awal Literasi ini, yang mengandungi biodata anak tersebut seperti tarikh lahir, gambar bersaiz pasport dan nama ibu bapa.

Tujuan buku ini adalah untuk ibu bapa mencatat buku-buku yang dipinjam di Perpustakaan DBP yang membolehkan pemantauan lebih berkesan dan efektif dilakukan. Catatan yang dimaksudkan sedemikian adalah seperti nama buku, tarikh peminjaman dan pemulangan.

Pihak Perpustakaan DBP menyatakan harapan agar aktiviti sedemikian dapat dilaratkan lagi ke cuti penggal sekolah yang lain untuk memberi peluang kepada peserta lain mengikuti aktiviti ini.

ARTIKEL YANG SAMA