Tanai semangat kesukanan

Tanai semangat kesukanan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Meskipun Laos dan Myanmar tidak menyertainya, Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) ke-7, pada November ini, inspirasi ‘Satu Visi, Satu Identiti dan Satu Masyarakat’ dapat disuburkan dalam semangat kesukanan yang tinggi.

Ini dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman ketika merasmikan persidangan ketua-ketua rombongan kejohanan berkenaan yang berlangsung di Hotel Orchid Garden di Berakas selama dua hari bermula hari ini.

Mesyuarat berkenaan membincangkan perincian kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 21 November sehingga 29 November 2015 termasuk tarikh pelaksanaan kejohanan ASG-7 NBD, jenis sukan, jadual, atur cara pembukaan dan penutupan rasmi dan penginapan serta pengangkutan para kontinjen.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus dan turut disertai Pengerusi Ahli jawatankuasa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Ong Kim Soon.

Mewakili Brunei Darussalam dalam mesyuarat hari ini ialah Awang Azrin bin Haji Aji bersama 20 delegasi dari negara-negara ASEAN kecuali Laos dan Myanmar.

Dr Haji Junaidi (tengah) ketika merasmikan persidangan ketua-ketua rombongan kejohanan ASG yang berlangsung di Hotel Orchid Garden.
Dr Haji Junaidi (tengah) ketika merasmikan persidangan ketua-ketua rombongan kejohanan ASG yang berlangsung di Hotel Orchid Garden.

ASG-7 nanti akan mempertandingkan tujuh sukan iaitu olahraga, sepak takraw, golf, badminton, renang, bola jaring dan Pencak Silat. Ia akan berlangsung di beberapa lokasi antaranya di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Sekolah Sukan Kampung Pulaie; Sekolah Menegah Rimba II; Kelab Golf dan Rekreasi Penerbangan Diraja Brunei; Pusat Belia dan Kompleks Sukan, Tutong.

Antara objektif kejohanan adalah untuk memacu kemajuan sosial di rantau ini melalui jalinan kerjasama pelbagai bidang dan ASG berperanan dalam aspek kesukanan sebagai bidang yang paling universal.

Ia dihasratkan akan memupuk semangat kerjasama yang erat di kalangan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah negara-negara anggota ASEAN selain menjadi platform menyatupadukan pelbagai kelompok masyarakat dan kaum di komuniti ASEAN.

Melalui ASG ia juga berperanan sebagai wadah galakkan kerjasama dan komunikasi aktif dalam bidang sukan yang menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan di rantau ini serta melahirkan atlet yang bertaraf dunia di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA