Tanam azam bermanfaat sempena 2016

Tanam azam bermanfaat sempena 2016

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) – Umat Islam di seluruh negara dinasihatkan supaya menanam azam tahun baharu yang dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam membina negara bangsa.

Ketua Penolong Pengarah Masjid Negara Ustaz Amru Alhaz Adnan ketika membaca khutbah solat Jumaat bersempena Tahun Baharu 2016 berkata, setiap orang dituntut supaya berusaha dengan kebenaran dan kesabaran, merancang secara strategik dan idealistik serta beristiqamah dan tekun dalam berusaha untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan pada tahun ini.

“Bagi memastikan kecemerlangan tahun 2016 ini, marilah kita menanamkan azam yang jitu agar dapat mencapai apa yang dihajatkan. Paling penting, azam ini menjadi wadah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat,” katanya ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Azam dan Muhasabah Mercu Kejayaan’ di Masjid Negara hari ini.

Beliau turut menyeru semua umat Islam memulakan tahun 2016 dengan jiwa yang bersih dan penuh semangat agar diberi kemudahan dan kesempatan untuk menambah amal.

“Jika kita tergelincir dalam kemaksiatan, maka bersegeralah kita kembali ke pangkal jalan memohon keampunan daripada Allah SWT dengan amal kebajikan kerana pahalanya dapat menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan,” katanya sebelum membacakan doa agar negara beroleh kesejahteraan sepanjang tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA