Tanam jiwa patriotisme dalam sanubari

Tanam jiwa patriotisme dalam sanubari

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Jan – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui cawangan Daerah Belait telah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan bagi sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara 2016 dengan tumpuan kali ini di Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei Kampus Lumut, di sini hari ini.

Seramai 155 orang pelajar daripada pelbagai kursus serta beberapa orang tenaga pengajar sekolah tersebut telah mendengarkan taklimat berkenaan.

Taklimat mengenai Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan pada majlis tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan cawangan Daerah Belait, Awang Mohammad Hisyam bin Idris yang antara lain menjelaskan dengan terperinci mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ serta definisi, peranan dan mengenai sejarah bendera dan lagu kebangsaan negara.

Menurutnya, rakyat dan penduduk negara ini dikehendaki untuk menaik-kibarkan (dan kemudian menurunkan) bendera negara pada waktu yang telah ditetapkan, yang lazimnya diumumkan melalui media massa kerajaan seperti Pelita Brunei serta Radio Televisyen Brunei.

Tegasnya, bendera yang dinaikkan atau dikibarkan mestilah dalam keadaan baik dan sempurna, iaitu tidak koyak, tidak luntur atau pudar warnanya dan dipasang di tempat yang sesuai mengikut keadaan tempat.

Warga Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei, Kampus Lumut bergambar ramai bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait.
Warga Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei, Kampus Lumut bergambar ramai bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait.

Taklimat tersebut bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan semangat patriotisme para pelajar mengenai lagu kebangsaan dan bendera Negara Brunei Darussalam.

Program itu juga adalah sebagai usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme para pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara, dan telah diadakan di kesemua sekolah-sekolah rendah kerajaan dan pada masa ini telah dilaratkan ke seluruh sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Bendera adalah lambang identiti sesebuah negara dan sesuatu bangsa, ia juga menjadi lambang kesepakatan dan perpaduan yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan martabatnya yang tersendiri yang perlu mendapat pengiktirafan dan penghormatan oleh setiap bangsa dan negara di dunia.

Sementara itu, menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan menaik-kibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam pula merupakan antara pendidikan awal para pelajar ke arah menimbulkan semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara.

Rasionalnya, semangat cinta kepada raja, agama, bangsa dan negara perlu disemai di peringkat generasi muda terutama pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi, generasi muda perlu dilatih untuk memiliki semangat patriotisme mantap dan taat setia yang jitu serta kental yang tidak pernah akan goyah untuk menghadapi apa jua cabaran yang boleh memudaratkan bangsa dan negara.

Majlis taklimat turut diisikan dengan kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Ismale bin Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Jaminan Kualiti dan juga selaku Pemangku Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Dr Tang Shi Siong dan Penolong Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei Kampus Lumut, Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali.

ARTIKEL YANG SAMA