Tanam niat ikhlas belajar

Tanam niat ikhlas belajar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Graduan terbaik Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang mendapat keputusan cemerlang (Mumtaz) pada Majlis Haflu Takharruj Ketiga, hari ini, meluahkan hasrat untuk mendalami lagi pengajian di Mesir dalam bidang Qiraat di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Dayangku Syahriah Hazirah binti Pengiran Alit, bersama dua lagi rakannya, Dayang Maisarah binti Sofri dan Dayang Nurul Afiqah binti Bulat mendapat keputusan Mumtaz dan diraikan bersama 16 graduan lain pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei di Berakas, hari ini.

Menurut Dayangku Syahriah Hazirah, salah satu kunci kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang itu adalah dengan menanam niat yang ikhlas belajar kerana Allah SWT yang disertai dengan azam yang kuat, rajin dan bijak mengatur masa serta membuat ulang kaji setiap hari.

Anak ketiga daripada lima beradik itu, yang ditemui sejurus selepas dikurniakan Diploma dalam bidang ‘Aliah Qiraat berkata, minatnya mendalami bidang hafazan Al-Quran timbul sejak kecil lagi setelah beliau dididik untuk menghafal Al-Quran.

“Minat saya terhadap bidang itu juga lebih kuat kerana saya lebih mudah memahami dan dapat menghafal dengan mudah apa yang diajar oleh tenaga pengajar,” ujarnya.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

pg04_150904_b

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menganugerahkan sijil diploma A’liyah kepada graduan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menganugerahkan sijil diploma A’liyah kepada graduan.

Dayangku Syahriah Hazirah yang kini berumur 20 tahun menjelaskan, Qiraat merupakan satu jurusan pengajian yang agak baru di Negara Brunei Darussalam, dan itu menguatkan lagi semangatnya untuk mengharungi cabaran dan mempelajari serta mendalami lagi bidang Qiraat hingga ke peringkat tertinggi.

Sebelum mengakhiri temu bual itu beliau menasihati para pelajar yang mengikuti bidang itu supaya memasang niat yang ikhlas terhadap pelajaran, benar-benar meminati apa yang dipelajari, menghormati guru dan ibu bapa serta menjaga pemakanan setiap hari.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan sijil ‘Aliah Qiraat kepada para graduan di majlis berkenaan.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.
Antara graduan-graduan yang telah menerima sijil Diploma mereka.
Antara graduan-graduan yang telah menerima sijil Diploma mereka.
Diplomatik-diplomatik yang hadir ke majlis itu.
Diplomatik-diplomatik yang hadir ke majlis itu.
Dayangku Syahriah Hazirah (kedua dari kiri) bersama adik-beradik beliau yang hadir.
Dayangku Syahriah Hazirah (kedua dari kiri) bersama adik-beradik beliau yang hadir.

Hadir sama ialah para pembesar negara, menteri kabinet, setiausaha tetap, perwakilan dan duta asing di Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis itu seramai 19 graduan, sembilan lelaki dan 10 perempuan, yang telah tamat pengajian Diploma ‘Aliah Qiraat selama tiga tahun dikurniakan syahadah/sijil Diploma ‘Aliah Qiraat.

Tiga orang graduan mendapat keputusan lulus dengan pangkat cemerlang (Mumtaz), lapan graduan lulus dengan pangkat sangat baik (Jayyid Jiddan), lima lulus dengan pangkat baik (Jayyid) dan tiga lagi lulus dengan pangkat lulus (Maqbul)

Majlis bermula dengan persembahan hafazan ayat suci Al-Quran dan inti sari ayat Surat Al-Balad dari ayat satu hingga ayat 20 oleh graduan terbaik Mumtaz, Dayangku Syahriah Hazirah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah ucapan alu-aluan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan ceramah khas oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

ARTIKEL YANG SAMA