Tanam semangat kesetiaan negara melalui sukan

Tanam semangat kesetiaan negara melalui sukan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Sememangnya kejayaan adalah satu bukti kecintaan bukan sahaja kepada sukan kegemaran malah kepada negara yang dicintai kerana sebagai rakyat kita wajar memberikan seluruh komitmen kita kepada semangat kesetiaan kepada Raja, Bangsa dan negara.

Perkara itu dikongsikan oleh pemenang Pingat Emas dalam Acara Wusyu di Kejohanan Sukan Asia Tenggara tahun 2013 di Myanmar dan penerima Anugerah Belia Cemerlang sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun 2014, Lee Ying Shi ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau ketika ditemui sedang giat berlatih bagi beberapa kejohanan yang bakal disertainya tahun ini menegaskan perasaan sangat bangga dan gembira ketika berjaya menyarung pingat emas untuk Brunei Darussalam dan menerima anugerah yang sedikit pun tidak diduganya.

Mengulas mengenai pengalamannya ketika menghadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negara pada tahun 2014 itu, katanya ia adalah pengalaman yang manis dan tidak akan dilupakannya.

“saya sangat gembira dan tidak menyangka untuk berbicara secara langsung di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan pada hari itu dan pada saya Baginda Sultan sangat ramah ketika berinteraksi dengan sesiapa saja, menjadikan beliau seorang pemimpin yang sangat berjiwa rakyat,” ujarnya.

Lee Ying Shi.
Lee Ying Shi.

Meskipun perasaan gementar ada namun pengalaman dan peluang yang diberikan untuk bergambar dan berinteraksi dengan baginda sultan itu katanya sangat berharga kerana selama penglibatannya baginda sultan melalui kerajaan baginda sangat menggalakkan kemajuan apatah lagi dalam sukan yang diceburinya.

“Baginda Sultan melalui kerajaannya banyak menyediakan kemudahan dan insentif kepada warga sukan di negara ini dengan menyediakan tempat, kemudahan asas dan keselesaan bagi menjalan-kan aktiviti sukan dan itu adalah satu yang sangat besar pada saya” tegasnya lagi.

Merurutnya dengan kemurahan hati baginda itu rakyat negara ini boleh memanfaatkan kelebihan itu untuk lebih sihat dan sejahtera serta mengingatkan supaya semua kemudahannya ini digunakan sebaiknya.

Beliau mewakili seluruh warga Wusyu kebangsaan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulai atas kurnia dan anugerah yang diberikan kepada seluruh rakyat dan mendoakan semoga baginda Sultan akan dipanjangkan usia dan berbahagia di samping ahli kerabat diraja yang lain.

Seorang lagi atlet negara yang sempat ditemui adalah ahli Olimpik wanita pertama Brunei Darussalam, Maziah Mahussin yang mengakui sukan di negara ini tidak akan berkembang tanpa keprihatinan dan kemurahan hati Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Para atlet diberikan insentif yang bukan berfungsi sebagai gaji namun sebagai penggalak untuk lebih maju dan berjaya dalam acara sukan masing-masing dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya,” tegas Maziah Mahussin.

Meskipun beliau tidak pernah berinteraksi secara langsung dengan Kebawah Duli yang Maha mulia, namun padanya semua kemudahan dan kelebihan yang diberikan kepada semua atlet di negara ini sudah cukup membuktikan betapa sayangnya Baginda Sultan kepada rakyatnya.

“Mewakili seluruh warga sukan olahraga di negara ini saya mengucapkan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan doa semoga Allah melanjutkan usia baginda Sultan dan ahli kerabat di raja yang lain, dan semoga kekal karar di atas takhta, daulat Kebawah duli tuan patik.”

ARTIKEL YANG SAMA