Tanam semangat patriotisme

Tanam semangat patriotisme

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 10 Jun – Jabatan Penerangan melalui Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan meneruskan inisiatifnya ke arah membentuk semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan generasi muda terutama pelajar-pelajar dengan mengadakan taklimat kenegaraan di Sekolah Menengah Perdana Wazir, hari ini.

Majlis Taklimat Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan, yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan, telah dihadiri kira-kira 185 pelajar Tahun 7 dan 8.

Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan Cawangan Belait, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar, yang antara lain menekankan peranan bendera untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk, di samping menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara.

Pengibaran bendera di negara ini, jelas beliau, lazimnya dinaikkan pada hari-hari tertentu seperti Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan atau hari-hari istiadat yang besar.

Menurut beliau lagi, bendera dan lagu kebangsaan negara dapat menimbulkan semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara terutamanya dalam kalangan pelajar dengan menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan serta dapat memahami dan menghayati erti sebalik lagu kebangsaan tersebut sebagai pendidikan awal yang lebih berkesan.

Gambar ramai Jabatan Penerangan Kuala Belait bersama kakitangan dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Perdana Wazir.
Gambar ramai Jabatan Penerangan Kuala Belait bersama kakitangan dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Perdana Wazir.

Selain itu, beliau turut menekankan kesedaran dalam bernegara melalui penghayatan lagu kebangsaan dan menanai sikap patriotik dalam diri para pelajar agar mereka menjadi belia yang berwawasan, berdisiplin serta memberikan sumbangan yang berguna kepada negara.

Beliau berharap dengan perisian inti pati taklimat yang disampaikan itu akan dapat dihebahkan dan disebarkan kepada keluarga termasuk rakan seperjuangan mereka sendiri.

Taklimat turut menjelaskan mengenai sejarah bagaimana bendera Negara Brunei Darussalam wujud dan sejarah lagu kebangsaan negara tercipta dan digunakan sehingga sekarang.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai, diikuti dengan lagu patriotik ‘Bendera Negara’, dan majlis turut diserikan dengan tayangan klip video Bendera Negara dan kuiz kenegaraan.

ARTIKEL YANG SAMA