Tanam sifat qanaah

Tanam sifat qanaah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Manusia hendaklah sentiasa bersyukur dan berasa cukup, iaitu bersifat qanaah dengan apa yang dianugerahkan Allah dan perlu ditanam dalam jiwa setiap manusia.

Sifat ini dapat menjauhkan manusia daripada sifat tamak haloba dan tidak mengambil hak orang lain. Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai sifat qanaah ini dalam diri manusia serta menjelaskan bahawa agama Islam memerintah umatnya untuk mencari rezeki halal bagi kelangsungan hidup mereka.

Islam juga tidak melarang umatnya untuk mengumpulkan harta kekayaan daripada rezeki yang diperoleh, namun dalam harta itu, bukanlah hak mutlak seseorang kerana sebahagiannya adalah hak orang lain.

Untuk itu, Islam mewajibkan umatnya mengeluarkan zakat bagi harta yang telah memenuhi syaratnya dan digalakkan untuk bersedekah, berwakaf dan membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, jelas Khatib.

Walau bagaimanapun, kehidupan pada zaman ini lebih mementingkan kebendaan, wang ringgit, pangkat dan kemewahan sehingga ia boleh membuatkan manusia bersifat tamak haloba dan sayangkan harta yang akhirnya membawa kepada sifat bakhil dan mementingkan diri sendiri.

Sifat tamak ini telah pun terbukti boleh menyebabkan manusia ditimpa kehancuran dan mendapat kemurkaan Allah dan sebagai contoh, seperti mana yang termaktub dalam Al-Quran iaitu kisah Qarun pada zaman Nabi Musa A.S.

Oleh kerana terlalu banyak harta dan berkuasa, dia kufur kepada Allah malah ia mengaku harta yang dimilikinya itu merupakan hartanya yang mutlak, terang Khatib. Memang banyak terjadi dalam sejarah kehidupan manusia bahawa manusia boleh hilang pedoman dan pertimbangan apabila menganggap harta tersebut miliknya yang mutlak.

“Harta yang banyak boleh saja memesongkan manusia kepada kufur nikmat dan mementingkan diri sendiri. Jika manusia itu terlalu sayang hartanya, maka timbullah keresahan dan ketakutan hartanya akan hilang, takut dicuri, dirompak dan bermacam-macam-macam lagi.”

Khatib seterusnya menambah, tidak semua kekayaan dan kemewahan itu menjanjikan kebahagiaan malah terdapat mereka yang hidup dalam serba kekurangan tapi hidupnya tenang dan bahagia.

“Inilah kurnia dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambanya,” tambahnya.

Khatib turut mengingatkan harta adalah perhiasan dan tipu daya dunia, Allah menguji manusia dengan harta dan kemewahan selain ujian kemiskinan.

Tidak dapat dinafikan, tegas Khatib, pada hakikatnya manusia itu suka kepada harta tetapi agama Islam menganjurkan supaya bersifat zuhud, bersifat qanaah dan sederhana memiliki harta. Kerana sifat tersebut akan mewujudkan sifat pemurah, ikhlas, syukur dan tawaduk dalam hati hingga tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa mengamalkan sifat bantu-membantu.

Khatib seterusnya menjelaskan, apabila sifat tamak bermaharajalela lela dalam diri seseorang, ia akan berasa tidak pernah cukup dengan apa yang diperolehnya.

“Ini akan menjadikan seorang itu semakin tamak dan cairlah sifat qanaah, syukur dan suka membantu dalam diri seseorang,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA