Tanam sifat-sifat penting pada setiap anggota

Tanam sifat-sifat penting pada setiap anggota

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) yang telah menjangkau usia 49 tahun, telah banyak berkembang mengikut arus kemajuan dan keutamaan lapisan pertahanan negara dengan kerajaan membelanjakan jumlah wang yang besar untuk menjadikan TUDB sebagai satu lapisan pertahanan yang mempunyai peranan yang amat penting.

Sehubungan itu, kemajuan, keamanan dan kestabilan yang dinikmati itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ulas Mantan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi bin Haji Abdul Latip ketika berucap pada Perbarisan Serah Terima Tugas Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei yang berlangsung di Padang Kawad Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba, hari ini.

“Melengkapi Tentera Udara Diraja Brunei dengan segala peralatan moden sahaja belum dapat memastikan keperkasaan pertahanan keseluruhannya.”

Tekannya lagi, “Tanpa nilai-nilai yang luhur, dan akhlak yang tinggi serta akidah yang kukuh, yang seharusnya dimiliki oleh setiap anggota Tentera Udara Diraja Brunei, kemajuan yang dicapai tidak akan dapat bertahan lama.”

Beliau menyatakan bahawa kejujuran, amanah dan taat setia merupakan sifat-sifat yang amat penting untuk ditanamkan di sanubari setiap anggota TUDB.

Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Menyentuh mengenai usaha kerjasama dua hala TUDB dengan tentera udara negara sahabat, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyarankan supaya ia terus dipergiatkan untuk mengukuhkan lagi kestabilan serantau dengan mengutamakan prinsip-prinsip kerjasama sebagai instrumen menuju keharmonian yang sedang dinikmati.

“Tentera Udara Diraja Brunei hendaklah terus mendukung usaha ini demi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dengan angkatan-angkatan pertahanan negara-negara jiran.

“Usaha ini akan hanya dapat menghasilkan kejayaan, dengan meningkatkan kerjasama, kefahaman, kesepaduan yang bermula daripada pegawai-pegawai serta seluruh anggota Tentera Udara Diraja Brunei,” ulas Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi.

Sementara itu, usaha untuk meningkatkan kesejahteraan, tahap profesionalisme dan mutu kehidupan dalam TUDB melalui mekanisme yang telah diatur, akan sentiasa diteruskan dan dipantau dengan sebaik-baiknya, katanya, di mana usaha itu diharap akan membuahkan hasil yang positif dalam sedikit masa lagi.

“Apa yang diharapkan ialah kesabaran dan toleransi dari setiap anggota untuk menikmati hasil yang diharapkan.”

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi berkata lagi, “Sikap gigih, rajin, fikiran terbuka dan sentiasa mahu dan menerima perubahan perlu terus disemai dalam kalangan setiap anggota seperti yang diwartakan di dalam Nilai-Nilai Teras TUDB iaitu ‘Service Above Self, Team Work dan Excellence’.

Manakala itu, Pemerintah TUDB yang baru, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dalam ucapannya berkata di bawah kepimpinan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi, TUDB telah mempamerkan peningkatan dan kemajuan dari pelbagai sudut.

“Ini telah dapat dikecapi sepenuhnya terutama sekali dari sudut keselamatan penerbangan.”

Kolonel (U) Shahril Anwar menyarankan supaya setiap warga TUDB berikhtiar dalam memenuhi kewajipan, peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana tanpa adanya amalan itu, TUDB tidak akan dapat terus maju dan berfungsi sebaik-baiknya dalam memenuhi peranan sebagai angkatan tentera yang berbakti kepada negara, agama, bangsa dan raja yang dicintai.

Mengulas mengenai perkembangan TUDB, beliau berkata bahawa pelbagai kelengkapan dan keupayaan baru telah dirancang sama ada dalam waktu terdekat atau sederhana.

“Tentera Udara Diraja Brunei sekarang telah menerima 12 buah helikopter Sirkorsy S70i bagi mengganti pesawat Bell 212. Rancangan penggantian pesawat lama juga akan terus dilanjutkan dan juga memperkembangkan lagi keupayaan pertahanan udara dan pesawat pengangkut.

“Sehubungan dengan ini, kita akan sentiasa menghadapi arus perubahan semasa, perubahan dan transformasi dalam pelbagai aspek perlu diserapkan dalam jiwa kita sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Brunei.”

Oleh itu, beliau menyeru bahawa para warga TUDB perlu mempunyai komitmen, usaha serta wawasan dalam menyumbangkan bakti khidmat untuk sama-sama memberi perkhidmatan yang terbaik bagi menjamin kesempurnaan dalam pengurusan dan pentadbiran secara keseluruhannya.