Tanam sifat sukarelawan sebenar

Tanam sifat sukarelawan sebenar

ALHAMDULILLAH, negara masa kini sedang menyaksikan bangkitnya semangat ingin menolong dan membantu masyarakat yang berkeperluan dalam meneruskan kehidupan pada era yang serba mencabar ini.

Kewujudan dan kehadiran sukarelawan tempatan dalam kalangan remaja dan belia yang sedar akan peranan suci mereka menggambarkan yang negara bakal memiliki sumber tenaga manusia yang boleh diharap untuk merealisasikan Wawasan 2035.

Satu soalan yang mungkin timbul, adakah sukarelawan yang ada sekarang benar-benar menjalankan tugas secara sukarela? Tidak menjadi masalah jika setiap mereka itu dibekalkan dengan bata makanan dan minuman serta wang saku sebelum bertolak dari rumah ke acara kesukarelawanan.

Mereka tahu yang bekalan yang diberi sudah cukup untuk menampung tenaga dan pengalaman mereka sepanjang penglibatan mereka. Ditambah lagi dengan insentif jamuan, sudah cukup untuk memeriahkan lagi suasana.

Namun sukarelawan yang sebenar tidak perlukan insentif jamuan dan publisiti, apatah lagi imbalan. Mereka juga tidak perlukan acara yang besar atau gah untuk menampakkan diri mereka dalam kalangan masyarakat. Cukup sekadar bertugas di belakang tabir sambil memohon ke hadrat Allah S.W.T minta diringankan segala urusannya dan situasi pihak yang ditolong serta bersyukur di atas rezeki usia dan kesihatan yang diterima. Itulah sifat sukarelawan yang sebenar.

Ujar saya pada sukarelawan dan sukarelawati sekarang, kita terus menuju ke arah kesempurnaan walaupun kita maklum kesempurnaan bukan milik mutlak kita. Yang baik datang dari Allah S.W.T, yang buruk datang dari kita sendiri. Sama-sama kita muhasabah diri kita setiap masa.

– Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA