Tanam sikap cintai kebersihan

Tanam sikap cintai kebersihan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Feb – Dalam menjaga kebersihan masjid yang mempunyai fungsi besar untuk dimanfaatkan bukan sahaja tempat beribadah kepada Allah malah menjadi pusat aktiviti masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Masjid pagi tadi telah mengadakan kempen kebersihan di Masjid Kampung Bukit Panggal.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Komandan Institut Latihan Penanjong Garison, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid.

Ikut serta dalam kempen kebersihan pagi tadi ialah kira-kira 50 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dari Institut Latihan Penanjong Garison, bersama anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Tutong, Daerah Polis Tutong dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bukit Panggal dan penduduk kampung.

Sebelum kempen dimulakan, bacaan Surah Al-Fatihah dan doa telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Bukit Panggal, Awang Zeimey bin Haji Ahim.

Antara mereka yang hadir menyertai kempen kebersihan di Masjid Kampung Bukit Panggal.
Antara mereka yang hadir menyertai kempen kebersihan di Masjid Kampung Bukit Panggal.

Pada tahun lalu, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah berjaya mengadakan kempen kebersihan masjid, surau dan balai ibadat senegara bersempena sambutan Awal Tahun Baru 1436 Hijrah dan kempen ini menjadi salah satu aktiviti bulanan bagi keempat-empat daerah secara berterusan.

Aktiviti ini adalah sebagai iringan sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1437.

Antara objektif kempen adalah sebagai salah satu usaha untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini dalam melakukan aktiviti berfaedah dan bermanfaat, memupuk dan menanamkan sikap cintakan keindahan dan kebersihan masjid.

Selain itu, bagi menanamkan sikap semangat bergotong-royong dan kerjasama dalam kalangan pegawai masjid, imam, bilal, ahli Takmir Masjid, para jemaah dan penduduk setempat dalam sama-sama menjaga kebersihan dan kesucian rumah Allah.

ARTIKEL YANG SAMA