Tanam sikap positif perkasa Bahasa Melayu

Tanam sikap positif perkasa Bahasa Melayu

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Sambutan Hari Bahasa diadakan setiap Julai bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961-2011) yang mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Bahasa.

Untuk merealisasikan titah berkenaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku institusi yang berperanan penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu telah dan akan mengadakan Sambutan Bulan Bahasa setiap tahun.

Tahun ini sambutannya akan menggunakan format menjelajah ke semua daerah bermula di Daerah Brunei dan Muara pada 2 Julai diikuti oleh Daerah Tutong pada 13 Ogos, Daerah Temburong pada 3 September dan Daerah Belait pada 10 September.

Sambutan Bulan Bahasa mula diadakan pada 2012 supaya menanamkan sikap positif masyarakat untuk memelihara, memperkasa dan mendaulatkan Bahasa Melayu seperti yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Usaha murni pemartabatan Bahasa Melayu ini akan memberi impak yang lebih berkesan jika melibatkan ramai pihak. Ditambah lagi apabila usaha ini bukan hanya digalas oleh DBP secara persendirian.

Hajah Sariani menerangkan Sambutan Bulan Bahasa 2016 yang akan bermula di Daerah Brunei dan Muara pada 2 Julai nanti.
Hajah Sariani menerangkan Sambutan Bulan Bahasa 2016 yang akan bermula di Daerah Brunei dan Muara pada 2 Julai nanti.

“Ia merupakan tanggungjawab bersama semua individu yang bernama Melayu,” kata Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak dalam sidang akhbar di DBP, hari ini.

Oleh itu, beberapa buah jabatan akan melibatkan diri untuk membuat pameran dalam sambutan berkenaan termasuk Jabatan Muzium-muzium, Pusat Sejarah Brunei dan Jabatan Sekolah-sekolah.

“Sambutan Bulan Bahasa bermatlamat untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa, memupuk rasa milik bersama (sense of belonging) terhadap bahasa ibunda, untuk memasyarakatkan Bahasa Melayu melalui keikutsertaan orang ramai serta untuk menggema dan menyemarakkan sambutannya ke seluruh negara,” jelas Hajah Sariani lagi.

Hajah Sariani menyatakan Sambutan Bulan Bahasa 2016 bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada 2 Julai bermula jam 12:30 tengah hari di Balai Sarmayuda, DBP dengan dihadiri selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Antara acara yang akan diketengahkan semasa sambutan itu nanti termasuk persembahan Bahasa Berirama, Ikrar Bahasa dan Deklamasi Sajak khusus, pelancaran buku-buku baru terbitan DBP dan pelancaran kegiatan kebahasaan DBP oleh Yang Berhormat Pehin.

Pada majlis itu nanti, penyampaian cenderamata akan disampaikan kepada pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu pada peringkat ‘O’ dan ‘A’ untuk 70 orang penerima dari bagi Daerah Brunei dan Muara, tujuh orang Daerah Tutong, lima orang dari Daerah Temburong dan enam orang dari Daerah Belait.

Sambutan tahun ini juga membawa satu pembaharuan dengan penyerahan Watikah Ikrar Bahasa kepada sekolah-sekolah terpilih, namun demikian ikrar itu juga diberikan kepada semua sekolah rendah, sekolah menengah dan juga sekolah agama.

“Jadi dengan penyerahan Ikrar Bahasa tersebut, mereka akan melafazkannya secara persendirian di sekolah berkenaan. Watikah itu kami berikan kepada semua sekolah di semua daerah untuk mereka bacakan di sekolah mereka sendiri.”

ARTIKEL YANG SAMA