Tanam tanggungjawab bersama imarahkan masjid

Tanam tanggungjawab bersama imarahkan masjid

Oleh Siti Nur Wasimah S.

TUTONG, 24 April – Dalam usaha untuk meningkatkan lagi perpaduan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong melalui masjid-masjid Daerah Tutong Zon 2 bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, Tutong, telah mengadakan ceramah motivasi bagi ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, kelmarin.

Ceramah yang diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, Tutong itu dihadiri oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku tetamu kehormat majlis.

Ceramah disampaikan oleh Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Ali Yusri bin Haji Abd Gapor dan dihadiri oleh seramai 160 orang yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid dan belia-belia masjid dari masjid-masjid Daerah Tutong Zon 1 dan 2.

Ceramah antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid mengenai peranan mereka dalam membantu pegawai-pegawai masjid mentakmir dan menjaga kehormatan masjid.

Haji Ali Yusri semasa menyampaikan ceramah.
Haji Ali Yusri semasa menyampaikan ceramah.
Antara yang menghadiri ceramah tersebut.
Antara yang menghadiri ceramah tersebut.

Di samping itu, ia juga bagi mengeratkan tali silaturahim antara jawatankuasa takmir masjid, pegawai masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan masyarakat umumnya serta menarik lebih ramai jemaah untuk melibatkan diri dalam setiap kegiatan masjid dan meningkatkan rasa tanggungjawab dalam memperkembangkan dan mentakmir masjid.