Tanaman daffodil serikan suasana bandar Salem

SETIAP kali tibanya musim bunga, keadaan jalan-jalan di sekitar selatan Salem, New York setentunya diserikan lagi dengan kehadiran 38,000 bunga daffodil yang berkembang mekar.

Ahli Kelab Taman Lewisboro telah memulakan usaha penanaman pokok bunga tersebut sejak 11 tahun yang lalu dan usaha yang dilakukan oleh kelab tersebut jelas merupakan sebuah projek kemasyarakatan yang sangat menyeronokkan untuk dilakukan bersama.

Beberapa projek yang sama melibatkan tanaman pelbagai jenis tumbuhan dan sayur-sayuran juga giat dilaksanakan di sekitar daerah tersebut namun ternyata daffodil tetap menjadi pilihan popular.

George Scott yang mengetuai kelab itu menjelaskan bahawa musim luruh memang menjadi waktu yang sesuai bagi projek tanaman daffodil yang memiliki warna kuning, keemasan dan putih.

Kelab yang diusahakannya itu berupaya untuk menanam 4,000 pokok dalam masa sehari dengan bantuan 50 ke 70 orang sukarelawan.

Kawalan ketat juga dilaksanakan demi memastikan kerja-kerja penanaman pokok daffodil di sekitar kawasan Salem berjalan dengan lancar. – AP
Kehadiran tanaman bunga daffodil secara tidak langsung menambahkan lagi seri suasana landskap di sekitar bandar Salem. – AP
Daffodil memiliki bunga berwarna kuning yang sangat menarik.

“Kami bekerja secara bergilir dengan menetapkan waktu selama 90 minit bagi setiap kumpulan giliran yang merangkumi seramai lima orang di mana mereka juga turut sama melakukan tugas-tugas penyelenggaraan sesebuah kawasan termasuk penanaman semula rumput hijau di kawasan berkenaan,” jelas Scott.

Melalui usaha yang dilakukan oleh para sukarelawan ini secara tidak langsung turut meningkatkan panorama dan suasana yang lebih indah di kawasan sekolah, stesen bomba, jalan raya dan kawasan bandar.

Susunan langkah penanaman

Scott menjelaskan bahawa pihak kelab harus terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada lembaga bandaran dan pemilik sesebuah kawasan terlebih dahulu sebelum sesebuah projek kelab tersebut dilaksanakan.

Antara kawasan terpilih bagi melaksanakan projek tanaman ini adalah tapak bersejarah dan jalan raya di mana permit juga diperlukan sebelum sesebuah projek itu dilaksanakan.

Setelah projek itu diluluskan, pengumpulan dana dan derma pula dimulakan untuk mencari sumber kewangan bagi mendapatkan benih pokok daffodil yang diperlukan.

Setentunya sejumlah besar para sukarelawan diperlukan untuk merealisasikan dan menjayakan projek ini.

Antara yang kerap telibat selaku sukarelawan dalam sama-sama menjayakan projek ini adalah pasukan pengakap terutama apabila melaksanakan projek ini di kawasan berdekatan dengan sekolah.

“Para guru juga turut mendukung dan terus memberikan galakan kepada para pelajar mereka untuk sama-sama menjayakan projek tanaman ini sebagai sebahagian daripada pengetahuan Sains yang mereka pelajari di sekolah,” jelas Scott.

Di samping itu, Scott juga turut menggalakkan para penyumbang dan penderma untuk turut mengikuti siri lawatan terhadap kawasan yang sudah dihiasi indah dengan tanaman tersebut bagi membuka hati dan menarik perhatian mereka lagi setelah melihat keindahan sesebuah kawasan yang dihiasi dengan daffodil.

Mereka juga turut mengatur strategi bijak untuk membeli daripada pihak pemborong yang menawarkan barangan pada harga yang sangat berpatutan.

“Lokasi penanaman pokok ini lebih baik dilakukan pada kawasan yang agak jauh daripada rimbunan pokok tinggi yang menghalang proses pencahayaan di samping turut mengelakkan daripada memilih kawasan yang rendah sehingga boleh ditenggelami air,” jelas Scott.

“Kawasan berumput merupakan lokasi yang sesuai untuk daffodil tumbuh mekar namun ia juga menjadi satu cabaran apabila ada beberapa pihak yang adakalanya memotong rumput pada waktu yang lebih awal daripada disasarkan di mana ia secara langsung turut menjejaskan proses perkembangan tanaman itu. Justeru, kami telah berusaha untuk meletakkan tanda amaran agar para kontraktor tidak menebas dengan sewenangnya malah kami juga turut mengirimkan e-mel peringatan berhubung perkara tersebut,” jelas Scott.

Di samping itu, keadaan tanah yang lembab juga merupakan lokasi yang cukup sesuai bagi penanaman tumbuhan tersebut.

Projek penanaman daffodil ini memang merupakan acara tahunan yang dilakukan pada setiap bulan Oktober pada setiap tahun dan Scott pula menjelaskan bahawa projek tersebut secara tidak langsung turut mengeratkan hubungan ukhwah sesama masyarakat.

Sekitar 100 batang bunga daffodil ditanam pada setiap grid yang memiliki keluasan di antara 40 hingga 45 kaki.

Cara penjagaannya juga cukup mudah di mana ia tidak perlu menerima air siraman yang berlebihan dan adalah lebih baik apabila daffodil itu bergantung kepada sumber air hujan. Malah ia juga agak jarang untuk diserang oleh sebarang serangga perosak.

Proses terakhir dalam penanaman tumbuhan ini adalah proses pembajaan di mana pada tahun lalu, sekitar 600 paun baja yang digunakan untuk mengekalkan agar tumbuhan tersebut kekal tumbuh dengan subur. – AP