Tanda kerjasama dalam pelbagai bidang

Tanda kerjasama dalam pelbagai bidang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10, Persatuan Persahabatan Brunei-China telah mengadakan majlis makan malam yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong serta isteri.

Presiden Persatuan China-ASEAN, Gu Xiulian semasa menyampaikan ucapan di awal majlis berkata, Persatuan Persahabatan Brunei-China telah banyak menjayakan kerjasama dalam pelbagai bidang dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau turut melahirkan penghargaannya kepada usaha mempromosikan persahabatan ini melalui persatuan berkenaan dan menyatakan harapan supaya hubungan kerjasama yang erat ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Tetamu kehormat (lima kiri) serta isteri bersama sidang tetamu khas memotong kek sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Persatuan Persahabatan Brunei-China.
Tetamu kehormat (lima kiri) serta isteri bersama sidang tetamu khas memotong kek sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Persatuan Persahabatan Brunei-China.

“Kini kita berada pada peringkat yang baru dalam pembangunan hubungan kerjasama antara China dan ASEAN yang daripada itu juga, pasti ada cabaran serta peluang baru yang perlu ditempuhi dan diraih,” ujarnya. Beliau seterusnya menyeru semua masyarakat yang terlibat akan terus bekerjasama membangunkan lagi persahabatan yang sudah terjalin erat ini dan menghasratkan supaya lebih banyak jaringan akan terbuka di antara kedua-dua pihak.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali turut berkesudian memotong kek ulang tahun persatuan berkenaan bersama-sama para perwakilan delegasi Persidangan Persahabatan ASEAN-China yang diketuai oleh Gu Xiulian dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Persahabatan Brunei-China.

ARTIKEL YANG SAMA