Tanda komited kepada negara

Tanda komited kepada negara

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Seramai 120 orang termasuk 90 dari Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) dan 30 lagi dari Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) telah menyertai acara perbarisan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-32, di ibu negara, pagi tadi, bagi mewakili kontinjen Syarikat BSP.

Pengurus Perhubungan dan Hal Ehwal Luar BSP, Awang Amir Hamzah bin Haji Hanafi memberitahu, penyertaan ini merupakan yang ke-32 bagi BSP dan sebahagian daripada peserta telah menyertai acara perbarisan ini setiap tahun dan sebahagian lagi merupakan orang baru BSP yang akan menjadi pelapis untuk acara pada tahun akan datang.

Dalam temu bual itu, beliau turut menyatakan perasaan berbesar hati dan gembira kerana menyertai acara perbarisan ini, yang menurutnya, penyertaan ini menunjukkan komitmen beliau kepada negara.

“Daripada pihak BSP dan BSM, kami sama-sama mendoakan agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa maju, makmur penduduknya dan hidup dalam aman tenteram kerana dengan keadaan yang aman, sebagai rakyat kitani akan dapat memajukan negara bersama-sama,” ujarnya.

Mengulas mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Awang Amir berpendapat bahawa ia adalah bertepatan yang mana Baginda ada menyentuh tentang pentingnya hidup di negara ini dengan aman dan harmoni kerana dengan cara itu ia dapat membangunkan negara.

Pesuruhjaya Program Belia Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Hassan bersama pemimpin-pemimpin dan pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Pesuruhjaya Program Belia Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Hassan bersama pemimpin-pemimpin dan pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Kontinjen BSP ikut serta dalam acara perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 Tahun.
Kontinjen BSP ikut serta dalam acara perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 Tahun.

“Oleh itu, sebagai penduduk dan rakyat Brunei, kita mesti mempertahankan sikap bersatu padu, bersama-sama dan berintegrasi untuk membangun dan menjayakan Negara Brunei Darussalam,” katanya menutup bicara.

Sementara itu, Pesuruhjaya Program Belia Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Hassan bin Haji Abdul Hamid turut berkata bahawa penyertaan dalam acara berkenaan menunjukkan komitmen sebagai warganegara atau sebagai belia untuk sentiasa mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan memeriahkan lagi sambutan Kebangsaan.

Seramai 600 orang termasuk ahli-ahli Pengakap Kanak-kanak dan Pengakap Remaja, para pemimpin dan pesuruhjaya pengakap telah menyertai acara perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-32.

Menyentuh mengenai titah Baginda Sultan, Haji Hassan menyatakan, inilah masanya untuk kita sebagai penduduk dan rakyat untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Sebagai belia, kita perlu peka terhadap negara dengan mencari ruang-ruang yang dapat memajukan lagi ekonomi negara. Ini penting kerana ia bukan sahaja memajukan negara, tetapi sebagai sara diri dan pendapatan tetap serta tidak bergantung kepada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kepada rakyat dan penduduk Brunei kerana sepanjang 32 tahun ini, banyak kemajuan yang telah dicapai bersama dan negara dalam keadaan yang aman makmur serta bahagia.

Manakala itu, bagi Dayang Rosinah binti Haji Ali Rahim yang menyertai perbarisan bagi mewakili Syarikat PertroleumBRUNEI, penyertaan itu membuktikan mereka mempunyai komitmen besar dalam sama-sama menyumbangkan sesuatu kepada negara.

Menurutnya, penyertaan kali kedua ini dapat memberikan pengalaman yang sangat berharga bagi dirinya kerana selain dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan, ia juga mengingati hari kelahirannya yang jatuh pada hari yang sama.

Dayang Rosinah dalam temubual bersama Media Permata menyatakan rasa bersyukur kerana diberi kesempatan hidup pada usia ke-48 tahun dan sama-sama menyambut Hari Kebangsaan yang ke-32.

Beliau mendoakan semoga Negara Brunei Darussalam akan terus berjaya dan maju ke hadapan dalam menempuh segala cabaran dan dugaan, dan berharap penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Seorang lagi peserta perbarisan mewakili Jabatan Perdana Menteri buat pertama kali, Ketua Pegawai Narkotik ‘2’, Dayang Nurul Hazwani binti Haji Abdul Jalil turut menyatakan rasa gembira dan berbangga kerana berpeluang dapat menyambut Hari Kebangsaan kali ini bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berharap, selaku rakyat dan penduduk di negara yang aman makmur ini, beliau akan dapat memberikan sumbangan yang bukan hanya kepada jabatan tetapi juga pada kepada raja dan negara.

Sempena Sambutan Hari Kebangsaan kali ini, beliau mendoakan agar semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dirahmati dan sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.

Dua orang jurulatih Persembahan Padang, Awang Abu Sufian bin Haji Mohd Husaini dan Awang Muhammad Zhafri bin Suhaimi turut melahirkan perasaan berbangga kerana menyertai persembahan bersama-sama para penuntut sekolah walaupun dalam letih mengajar agar persembahan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Mereka berharap acara-acara seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memeriahkan lagi Hari Kebangsaan dan harapan mereka untuk turut serta lagi pada tahun yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA