Tandas tidak mencukupi

Tandas tidak mencukupi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 28 Sept – Sebilangan ibu bapa dan guru Sekolah Ugama Danau, Tutong II, telah menyuarakan masalah mengenai tandas di sekolah berkenaan yang tidak mencukupi untuk kegunaan pelajar dan guru.

Salah seorang bapa murid yang tidak ingin dikenali memberitahu bahawa anaknya sering kali hendak pulang dari sekolah, kerana tidak dapat menahan membuang air kecil memandangkan di sekolah berkenaan mempunyai sebuah tandas sahaja.

Sementara itu, salah seorang guru di sekolah berkenaan turut menyuarakan masalah yang sama.

Menurutnya, pada awal bulan Mac tahun ini, mereka berasa teruja setelah melihat beberapa buah tandas murid dan guru-guru diperbaiki, namun sebelum bulan puasa sehingga kini, pembinaan dan pengubahsuaian tandas sekolah itu tenggelam begitu sahaja.

Kontraktor yang membaiki tandas tersebut pun lenyap begitu saja, guru menyuarakan rasa hampanya.

Keadaan tandas di Sekolah Rendah/Ugama Danau yang terbengkalai sehingga kini.
Keadaan tandas di Sekolah Rendah/Ugama Danau yang terbengkalai sehingga kini.

Pada masa ini, Sekolah Ugama Danau yang juga digunakan oleh Sekolah Rendah Danau pada sebelah pagi mempunyai masalah penggunaan tandas.

Tandas untuk murid perempuan pada masa ini dikongsi sama dengan murid-murid lelaki kerana tidak mencukupi, begitu juga dengan tandas guru-guru yang pada masa ini mempunyai sebuah saja, jelas guru itu lagi.

Beliau menyatakan rasa kasihan apabila melihat murid-murid menunggu giliran dan terpaksa meminjam tandas guru-guru dengan alasan tandas tidak mencukupi.

“Bahkan sebuah tandas yang baik itu pun tidak begitu memuaskan,” ujarnya, sambil menambah hampir setiap hari murid-murid Darjah Pra sekolah tersebut akan membuat masalah kerana tidak dapat menahan air kecil atau besar.”

Sehubungan itu, mereka bagi mewakili sekolah tersebut menyatakan harapan agar pihak berwajib akan dapat mengambil tindakan sewajarnya dan pembinaan tandas yang belum siap itu diselesaikan segera bagi kemudahan murid-murid dan guru.