Tangani ekstremis secara komprehensif

Tangani ekstremis secara komprehensif

CALIFORNIA, 17 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah menekankan kepentingan menangani keganasan dan ekstremis yang melampau secara komprehensif melalui pendidikan dan pertukaran ‘people-to-people.’

Titah Baginda, ancaman yang berpunca dari keganasan dan ekstremis yang melampau perlu diatasi dengan cara yang komprehensif bagi menangani kelemahan sosial melalui pendidikan, sikap toleransi, moderasi dan kefahaman.

Dalam hal ini, Baginda turut menyokong bagi dialog antara agama dan moderasi untuk dipromosikan, seperti di bawah United Nations Alliance of Civilisations dan the Global Movement of Moderates.

Baginda juga menekankan tentang kaedah-kaedah pertukaran pelajar antara negara-negara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS), sebagai salah satu cara untuk mempromosikan kefahaman dan kepercayaan antara komuniti dan para individu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara ini dalam titah Baginda pada Retreat 2 bagi Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN yang diadakan di Living Room, Sunnylands Historic Home, Sunnylands Center and Gardens.

Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menghadiri Retreat 2 bagi Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menghadiri Retreat 2 bagi Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California. – Gambar Infofoto

pg03_160217_b pg03_160217_c

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama-sama para pemimpin AS dan ASEAN yang lain selepas Retreat 2 berakhir. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama-sama para pemimpin AS dan ASEAN yang lain selepas Retreat 2 berakhir. – Gambar-gambar oleh Infofoto

Keberangkatan tiba Baginda di Sunnylands Historic Home, Sunnylands Center and Gardens dijunjung oleh Setiausaha Negara AS, John F. Kerry.

Retreat 2 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden AS, Barack Obama, diikuti dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Choummaly Sayasone selaku Pengerusi ASEAN.

Semasa Sesi Retreat 2, para pemimpin membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan keganasan, cabaran merentas sempadan dan keselamatan maritim.

Setelah Retreat 2 berakhir, Baginda berkenan bergambar ramai bersama-sama para pemimpin Amerika Syarikat dan ASEAN yang lain.

Sementara itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia hari ini berkenan berangkat meninggalkan Amerika Syarikat setelah menghadiri Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-Pemimpin AS-ASEAN yang berlangsung di Sunnylands, Rancho Mirage, California.

Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman Baginda, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

ARTIKEL YANG SAMA