Tangani isu alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – ASEAN secara bersama telah menyaksikan pelbagai perkembangan positif dan menggalakkan dalam bidang kerjasama alam sekitar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah berkata, pencapaian itu menunjukkan kepentingan yang diletakkan oleh negara anggota ASEAN terhadap perlunya untuk melaksanakan pengurusan alam sekitar yang betul ke arah kemapanan alam sekitar.

Katanya, usaha itu terus dilaksanakan di sebalik pelbagai keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh setiap negara di mana usaha itu dapat disaksikan menerusi pelbagai sumber dan kapasiti yang diberikan oleh setiap negara dalam menangani isu-isu alam sekitar di negara masing-masing atau serantau.

Berucap ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) ke-14 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, beliau menjelaskan, setelah mencapai matlamat di bawah Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs), negara-negara anggota ASEAN bersama negara-negara lain pada masa ini sedang berusaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pencapaian negara-negara anggota ASEAN di bawah Sektor Alam Sekitar ASEAN, ulas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin lagi, adalah termasuk kejayaan merealisasikan ASEAN Biodiversity Heroes, penerbitan Laporan ASEAN State of Environment, Forum Alam Sekitar Belia ASEAN, Anugerah Bandar Mapan ASEAN dan Sijil Pengiktirafan, Pandangan Biodiversiti ASEAN serta kerjasama dengan rakan-rakan dialog ASEAN yang terus diperkukuhkan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin menyampaikan ucapannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN ke-14 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Beliau berkata lagi bahawa dengan perjalanan ASEAN untuk merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2025, mereka akan berhadapan dengan landskap global dan serantau yang pesat berubah yang akan memberikan pelbagai peluang serta cabarannya tersendiri.

“Dengan kebolehan kita untuk bekerjasama secara kolektif dan pragmatik bagi kepentingan bersama, serta memanfaatkan semangat kerjasama dan perpaduan ASEAN, saya yakin bahawa kita akan dapat meneruskan kemajuan dalam bidang kerjasama alam sekitar di bawah rangka kerja ASEAN.”

Beliau menambah bahawa Pelan Strategik ASEAN bagi Alam Sekitar (ASPEN), semak semula Terms of Reference of the ASEAN Senior Officials on the Environment (ASOEN) dan Terms of Reference of ASOEN Working Groups, merupakan bahan yang amat penting yang menjadi panduan praktikal serta khusus ke arah kerjasama alam sekitar ASEAN.

Beliau menjelaskan bahawa semua itu, memudahkan lagi keperluan untuk mengukuhkan komitmen bersama untuk menangani kebimbangan alam sekitar serta untuk menjadikannya satu keutamaan kepada agenda pembangunan negara dan serantau.

Mesyuarat AMME ke-14 dihadiri oleh lebih dari 100 orang delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan wakil Sekretariat ASEAN, di mana ia memberikan peluang kepada para menteri yang bersidang untuk memberikan tumpuan kepada usaha bersepadu negara-negara anggota ASEAN dalam pemuliharaan, pengurusan dan perlindungan alam sekitar.