Tangani isu kemalangan jalan raya

Tangani isu kemalangan jalan raya

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Dalam Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya 2015 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 1.2 juta nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya setiap tahun.

Selain itu, WHO juga telah menganggarkan bahawa dalam tahun 2020, kemalangan jalan raya adalah antara punca utama kematian selepas penyakit jantung dan tekanan perasaan akut.

Ini menunjukkan bahawa usaha berterusan perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

Perkara ini disentuh oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Kementerian Perhubungan Selaku Timbalan Pengerusi II Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Strategi dan Inisiatif Menangani Isu Kemalangan Ja​lan Raya Dalam Memastikan Pengangkutan Darat Yang Selamat’ dalam sesi pembentangan kelima bertema ‘Strategi dan Peranan Sistem Perhubungan’ semasa Simposium Majlis Ilmu 2016 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, petang tadi.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar permotoran yang tinggi, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dalam menghadapi kemalangan jalan raya.

Dr Haji Supry semasa membentangkan kertas kerjanya.
Dr Haji Supry semasa membentangkan kertas kerjanya.

Beliau juga telah mengongsikan statistik korban disebabkan kemalangan jalan raya yang bukan sahaja melibatkan kereta persendirian tetapi juga kenderaan lain seperti motosikal, basikal, pengangkutan bas dan komersil, yang menurut beliau menunjukkan trend menurun dan menaik sejak beberapa tahun kebelakangan.

Katanya, 47 nyawa telah terkorban pada tahun 2011, 28 pada tahun 2012, 32 dan 24 masing-masing pada tahun 2013 dan 2014, manakala itu, tahun lalu mencatatkan 36 orang terkorban.

Sementara itu, bagi tahun ini setakat 31 Mei 2016, enam jiwa telah terkorban, lebih kurang 15 cedera parah dan 130 orang mengalami cedera ringan.

Bagi sebuah negara yang kecil dengan penduduk lebih kurang 410,000, jumlah ini adalah signifikan dan usaha berterusan perlu dibuat bagi mengurangkannya.

Dalam pembentangannya itu, beliau turut menyentuh mengenai matlamat MKKJR, yang menurutnya bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di peringkat kebangsaan di samping memberikan perhatian khusus dalam menurunkan kemungkinan kematian dan kecederaan dalam kemalangan khusus untuk pengguna jalan raya yang tidak dilindungi.

Di samping itu, MKKJR juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain supaya mereka akan memberi keutamaan kepada keselamatan.

Beliau dalam kertas kerjanya juga mengongsikan isu-isu dan punca kemalangan jalan raya di Negara Brunei Darussalam sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan saja daripada aspek penelitian statistik tetapi juga daripada penelitian lanjut kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian.

Penemuan-penemuan hasil penelitian ini dijadikan sebagai pengajaran untuk pembaikan dan menambah lagi strategi dan inisiatif yang terkandung dalam ‘Brunei Decade of Action for Road Safety’ (2011-2020).

Perkembangan kepada strategi dan inisiatif seperti ‘SiKAP’ yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan dengan penekanan teras ‘5E’ melalui tindakan berbagai-bagai pihak juga akan dikongsikan.

Semua langkah ini, katanya, bukan saja menjurus kepada mencapai sasaran negara iaitu pengurangan kadar kematian sebanyak 35 peratus menjelang 2020 tetapi yang penting sekali adalah menyelamatkan nyawa di jalan raya.

Beliau turut membentangkan mengenai kesan baik dan buruk penggunaan ICT, cadangan kepada perubahan perundangan yang sedia ada bagi menangani kelibat-kelibat pemandu yang suka mengambil risiko, sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang dikawal selia dan kesalahan-kesalahan kenderaan komersil yang merosakkan harta benda kerajaan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA