Tangani masalah kebersihan di Kota Kinabalu

Tangani masalah kebersihan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 1 Feb – Masalah kebersihan yang sekian lama dihadapi Bandaraya Kota Kinabalu boleh diatasi dengan mengenal pasti serta mengatasi punca masalah berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia memerlukan tindakan agresif dan komitmen kerja 24 jam daripada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu, Datuk Yeo Boon Hai.

“Bagi saya cabaran paling besar dihadapi Mayor yang baharu ialah bagaimana untuk menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya bersih. Mungkin Dewan Bandaraya Kota Kinabalu perlu menguruskan masalah ini sebaik mungkin secara agresif.

“Jika tidak, Kota Kinabalu akan kerugian daripada aspek pelancongan,” katanya.

Masidi berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Rayani Air ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurut Masidi langkah yang perlu diambil DBKK ialah menerusi pendekatan serampang dua mata iaitu serius dalam penguatkuasaan dan mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran sivik mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

Katanya kerja mengutip sampah di tempat awam oleh pekerja DBKK tidak akan ada kesudahannya sekiranya kesedaran sivik orang awam masih rendah sehingga cenderung membuang sampah di merata tempat. – Bernama