Tangani masalah pembaziran makanan secara serius

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kerajaan digesa mencari kaedah dalam usaha menangani masalah pembaziran makanan yang kini berada pada tahap yang membimbangkan, Dewan Negara diberitahu.

Senator Datuk Lihan Jok berkata statistik menunjukkan kira-kira 3,000 tan metrik makanan yang pada asasnya boleh dimakan tidak disentuh dan dibuang setiap hari.

“Jumlah yang banyak itu cukup untuk diberi makan kepada dua juta orang yang kelaparan dengan tiga kali hidangan setiap hari. Jadi pada hemat saya masalah ini perlu ditangani serius…ia sudah sampai ke tahap kritikal,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 hari ini.

Lihan berkata mengikut kajian sebuah syarikat peralatan dapur dan elektrik, Electrolux Malaysia, kira-kira 77 peratus rakyat Malaysia mempunyai sikap suka membazir makanan dan masalah itu banyak berlaku di rumah.

“Masyarakat kita suka membuang makanan yang disimpan di dalam peti sejuk sedangkan makanan itu masih elok untuk dimakan,’’ katanya.

Pembaziran makanan yang berterusan akan menjejaskan jaminan bekalan negara selain memberi kesan yang tidak sihat kepada alam sekitar, kata Lihan. – Bernama